SHANGHAI, 2 NOV – Kerajaan China menggesa penduduk untuk menyimpan bekalan harian dan bagi pihak berkuasa untuk meningkatkan langkah mencukupkan bekalan makanan ketika negara melaksanakan sekatan yang semakin ketat bagi membendung penularan terkini COVID-19.
Pemberitahuan dibuat melalui laman sesawang kementerian perdagangan lewat kelmarin menggesa ‘keluarga-keluarga supaya menyimpan jumlah tertentu keperluan harian bagi memenuhi keperluan seharian dan kecemasan’.
Arahan tersebut tidak menyebut mengenai kekurangan bekalan makanan atau sama ada arahan tersebut adalah didorong ketakutan bahawa langkah COVID-19 mungkin menjejaskan rantaian bekalan atau menyebabkan penduduk yang dikenakan perintah berkurung memerlukan makanan.
Namun China, yang berjaya mengawal jumlah jangkitan pada kadar rendah sepanjang strategi Sifar-COVID dengan penutupan sempadan, melaksanakan perintah berkurung yang disasarkan dan tempoh kuarantin yang lebih panjang, melaksanakan sekatan lebih ketat bagi membendung penularan terbaharu, terutama menjelang permulaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada 4 Februari.
Maklumat kementerian perdagangan turut memberitahu pihak berkuasa akan mengambil langkah bagi pengeluaran kemudahan agrimakanan, mengekalkan rantaian bekalan yang lancar, memastikan simpanan makanan rantau mencukupi dan mengekalkan harga stabil.
Selain kebimbangan COVID-19, China dilanda kejadian banjir teruk dalam tempoh dua tahun kebelakangan sehingga menjejaskan pengeluaran agrimakanan dan menyebabkan kenaikan harga, meningkatkan kebimbangan bahawa masalah mungkin bertambah buruk disebabkan perubahan iklim yang dibawa oleh cuaca ekstrem yang semakin meningkat.
Tahun lalu, pihak kerajaan melancarkan kempen bagi mengurangkan pembaziran makanan kebangsaan.
China secara umumnya berjaya mengekalkan jumlah jangkitan pada paras rendah dua angka sepanjang pandemik. – AFP
