Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Penduduk desa terima rumah baharu

    VIENTIANE – Penduduk desa Laos yang ditempatkan semula untuk pembinaan landasan Kereta Api China-Laos akan berpindah ke rumah baharu yang dibina dengan bantuan China.

    Satu majlis penempatan semula dan pertandingan kaligrafi dan lukisan bertemakan ‘Untuk Masa Depan Bersama’ telah diadakan pada Jumaat lalu di desa Buam Aor, daerah Xiang Ngeun di wilayah Luang Prabang, kira-kira 220 km ke utara ibu negara Laos Vientiane, di mana sebuah firma China, NORINCO International Cooperation Ltd., telah membina sebuah perkampungan penempatan semula untuk pembinaan landasan Kereta Api China-Laos.

    Penempatan semula di desa Buam Aor, dengan bangunan perumahan yang tersusun rapi dengan bumbung merah dan dinding kuning, terletak di antara perairan yang jernih dan gunung yang hijau. Penduduk tempatan telah sibuk berpindah ke rumah baharu mereka.

    “Kami mempunyai rumah baharu, sekolah baharu, jalan baharu. Inilah yang dibina oleh jurutera Cina untuk kami,” jelas Chandy Chittakone, murid darjah lima ketika membacakan karangannya pada majlis itu di sebuah sekolah yang baharu dibina di sepanjang Sungai Mekong.

    Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Laos Viengsavath Siphandone dan Konsul Jeneral China di Luang Prabang Li Zhigong, antara yang menghadiri aktiviti pada Jumaat lalu.

    Gambar menunjukkan rumah baharu di Desa Buam Aor, Daerah Xiang Ngeun, Wilayah Luang Prabang, Laos. – Xinhua
    Murid-murid Laos menari untuk upacara penempatan semula di sekolah Desa Buam Aor, Daerah Xiang Ngeun. – Xinhua

    Sebelum majlis berlangsung, NORINCO International menyumbangkan meja, kerusi dan alat tulis kepada pihak sekolah. Guru-guru Cina telah mengajar murid-murid seni khat tradisional Cina dan kemahiran melukis, dengan pertandingan diadakan dan pameran memaparkan karya seni murid-murid.

    “Dalam pertandingan kaligrafi dan melukis, kanak-kanak menyatakan rasa cinta mereka terhadap Kereta Api Laos-China, persekitaran semula jadi dan desa baharu Buam Aor,” kata seorang guru tadika, Philavan Simdavong.

    Menteri Laos berkata kejayaan Projek Penempatan Semula Desa Buam Aor telah membawa kesejahteraan kepada desa itu, sambil menyatakan ia adalah projek bertaraf tinggi, mampan dan membawa manfaat yang besar kepada kehidupan rakyat.

    Laos dan China adalah jiran mesra dengan masa depan yang dikongsi bersama, manakala kanak-kanak adalah masa depan negara dan perhubungan, manakala kaligrafi serta lukisan mereka mencerminkan persahabatan yang mendalam antara kedua-dua rakyat, kata Viengsavath.

    “Saya sangat gembira apabila mendapati penduduk yang telah ditempatkan semula dan dipindahkan kini menikmati kehidupan yang bahagia.

    Projek Penempatan Semula Desa Buam Aor bukan sahaja projek yang baik untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, tetapi juga satu lagi manifestasi yang jelas dari persahabatan yang mendalam antara China dan Laos,” kata Ketua Perwakilan Projek Buam Aor Jin Guofeng.

    Jin berharap projek itu, dengan 107 rumah penempatan semula untuk 459 penduduk desa, dan pejabat desa, klinik, tadika dan sekolah rendah yang baru dibina, akan meningkatkan infrastruktur tempatan, pendidikan, penjagaan perubatan dan taraf hidup, serta membantu menggalakkan pembangunan ekonomi tempatan.

    Dalam majlis itu, Jin menyerahkan kunci yang melambangkan penempatan baharu kepada Viengsavath dan pokok persahabatan turut ditanam oleh menteri Laos dan konsul jeneral China.

    Li berkata pada majlis itu laluan Kereta Api China-Laos, yang telah siap dan mula beroperasi pada Disember lalu, “menyuntik dorongan baharu ke dalam pembangunan ekonomi Laos dan peningkatan kehidupan rakyat.”

    Thongvan Vatthanaphone, ketua desa yang berusia 43 tahun, memberitahu Xinhua bahawa pada masa lalu, beberapa penduduk desa terpaksa tinggal di pondok, tetapi kini, rumah simen mereka sangat kukuh dan jauh lebih baik.

    “Sekarang kereta api melalui desa kami, dan kereta api menghubungkan Vientiane ke China. Kemudian barang-barang boleh diangkut dengan mudah ke tempat lain (dari Laos),” kata ketua desa itu.

    Philavan, guru tadika, berkata, “Saya berharap kanak-kanak di sini dapat menaiki kereta api ke Beijing, untuk belajar atau mengembara apabila mereka dewasa nanti.” – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...