Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk Gaza terpaksa minum air kumbahan, makan makanan haiwan

    GENEVA, 5 JUN – Krisis kemanusiaan di Gaza memaksa segelintir penduduknya meminum air kumbahan dan makan makanan haiwan serta rumput untuk hidup, dedah pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Pengarah Wilayah Mediterranean Timur WHO, Hana Balkhy, memberi amaran perang antara Israel-Palestin mempunyai kesan buruk terhadap penjagaan kesihatan di seluruh wilayah itu secara lebih meluas.

    Beliau juga merayu akses bantuan segera ke wilayah yang dikepung itu ditingkatkan bagi menangani kesan ke atas kanak-kanak, yang berisiko meninggalkan kesan berpanjangan lagi teruk.

    “Di Gaza, ada orang kini makan makanan haiwan, makan rumput dan mereka terpaksa minum air kumbahan kerana tiada sumber lain.

    “Kanak-kanak hampir tak boleh makan, sedangkan trak-trak sarat berisi bantuan masih menunggu di luar Rafah,” kata pakar kesihatan kanak-kanak itu kepada AFP ketika ditemu bual di ibu pejabat WHO di Geneva.

    Bantuan kemanusiaan dijatuhkan berhampiran khemah yang melindungi rakyat Palestin yang dipindahkan akibat konflik di selatan Semenanjung Gaza pada 4 Jun. – AFP

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sudah lama memberi amaran kebuluran sedang melanda Gaza, dengan 1.1 juta orang atau kira-kira separuh daripada penduduk di wilayah itu mengalami krisis bekalan makanan.

    Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB kelmarin, kekangan akses terus menjejaskan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan selamat bagi menyelamatkan nyawa di seluruh Gaza.

    Katanya, keadaan bertambah buruk secara mendadak dan ketara sejak Mei lalu apabila sekatan semakin diperketatkan tentera Israel.

    Proses mengagihkan bantuan terhalang kerana peperangan dan pengeboman serta permukaan jalan raya dipenuhi serpihan sisa peperangan.

    Balkhy, yang baru sahaja berkhidmat pada Februari lalu berkata, Gaza terdesak dan memerlukan keamanan serta peningkatan akses bantuan melalui jalan darat.

    Selepas lawatan baru-baru ini ke persimpangan Rafah dari Mesir ke selatan Semenanjng Gaza, iaitu saluran penting bantuan yang ditutup oleh tentera Israel awal bulan lalu, beliau menggesa rejim Zionis untuk membuka semula sempadan itu.

    Tegas beliau, laluan Kerem Shalom ‘tidak memadai’ dan usaha dilakukan melalui koridor maritim dan udara tidak masuk akal kerana ‘trak boleh saja menggunakan laluan darat’ yang jauh lebih murah serta berkesan untuk menghantar bantuan.

    Beliau juga kecewa dengan sekatan peralatan perubatan, yang didakwa Israel boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan termasuk barangan seperti ventilator dan bahan kimia penulenan untuk air bersih. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda