BANDARAYA GAZA, 4 MAC – Puluhan orang terbunuh dan cedera apabila tentera Israel menyerang penduduk Palestin yang sedang menunggu untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan kelmarin.
Jurucakap Kementerian, Ashraf al-Qudra berkata serangan itu berlaku di selatan bandar Gaza. “Tentera penceroboh Israel sedang melakukan genosid terhadap beribu-ribu penduduk yang kelaparan di utara Gaza,” menurut jurucakap itu.
Serangan itu berlaku tiga hari selepas sekurang-kurangnya 118 rakyat Palestin terbunuh dan 760 lagi cedera apabila serangan tentera Israel menyasarkan orang ramai yang menunggu bantuan kemanusiaan di selatan bandar Gaza.
Sementara itu, pejabat media kawasan itu berkata bantuan kemanusiaan yang dihantar menerusi udara ‘tidak berkesan’ di tengah-tengah kebuluran yang semakin meruncing di Gaza.
“Seramai 2.4 juta orang dilanda krisis kekurangan makanan dan kebuluran…,” menurut kenyataan pejabat media. – Bernama