Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk hulur derma $6,210

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Sejumlah $6,210 hasil kutipan derma yang disumbangkan oleh penduduk Kampung Kapok telah didermakan kepada seramai 15 orang anak yatim semasa Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung diselajurkan dengan sumbangan derma untuk anak yatim dan tabung dana masjid daripada ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK) dan penduduk Kampung Kapok, hari ini.

    Majlis yang diadakan di kediaman Ketua Kampung Kapok, Haji Marali bin Haji Ahmad itu dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof selaku tetamu kehormat sekali gus menyampaikan derma kepada anak-anak yatim.

    Daripada sejumlah $6,210 itu, setiap anak yatim telah menerima sebanyak $414 setiap seorang.

    Ketua Kampung Kapok dalam ucapannya di majlis tersebut menjelaskan bahawa pemberian derma kepada anak-anak yatim itu menunjukkan rasa tanggungjawab MPK bersama penduduk kampung bagi membantu mereka dalam meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga.

    “Saya berharap khidmat bantu yang berkebajikan seperti ini akan sentiasa berterusan, dapat dilaksanakan oleh MPK bersama penduduk kampung bagi sama-sama menjaga keharmonian dan kesejahteraan anak yatim kampung ini,” ujar Haji Marali.

    Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim.

    “Diharap kepada anak-anak yatim yang menerima sumbangan pada petang ini akan dapat berjimat cermat dan menggunakan kewangan yang dihulurkan ini dengan baik serta digunakan kepada perkara yang berfaedah,” katanya lagi.

    Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan yang dirancang oleh MPK Kapok yang bertujuan bagi mengeratkan lagi tali silaturahim dalam kalangan penduduk kampung bersama MPK Kapok supaya mereka akan sentiasa memberikan sokongan dan sumbangan bakti kepada MPK khasnya dan kesejahteraan penduduk kampung amnya.

    Selain itu, ia jua mencerminkan satu amalan gaya hidup yang lebih baik dan aktif serta sentiasa memperingati dan berdoa kepada keluarga yang telah kembali ke rahmatullah.

    Di samping itu juga, majlis turut menyaksikan sumbangan derma MPK dan penduduk kampung kepada Tabung Dana Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam sebanyak $1,000 yang diserahkan kepada Setiausaha Tetap di KHEU.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda