JAKARTA, 1 MEI – Penduduk Indonesia dari segenap lapisan umur sanggup berjemur di bawah panas terik matahari selepas tersebar berita kononnya perbuatan itu boleh membunuh virus COVID-19.
Tindakan berjemur yang lazimnya dilakukan pelancong di Bali itu kini menjadi ikutan di seluruh Indonesia berikutan dakwaan sinaran matahari mempunyai vitamin D yang boleh membunuh virus terbabit.
Perbuatan itu semakin memuncak sejak minggu lalu apabila seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) mengatakan terdapat penyelidikan baharu bahawa cahaya matahari mampu memusnahkan virus.
Meskipun penyelidikan itu masih belum disahkan, Presiden AS Donald Trump juga mengesyorkannya dengan penuh bersemangat pada salah satu sidang medianya.
Kalangan pegawai perubatan juga menyuarakan keraguan berkenaan hal itu, walaupun mengakui berjemur di bawah cahaya matahari dalam tempoh 15 minit sememangnya baik untuk tubuh.
Bagaimanapun, seorang doktor di Hospital Omni Pulomas, Jakarta, Dr Dirga Sakti Rambe, berkata ia tidak langsung mencegah sesuatu penyakit, hanya memberikan kebaikan vitamin D pada tubuh. – AFP
