Tuesday, March 18, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk kampung diancam bahaya berganda

    LAUREL, FILIPINA, 2 JULAI – Beribu-ribu orang dipindahkan dari kampung-kampung di sekitar gunung berapi yang berderam-derum berhampiran ibu negara Filipina hari ini, namun pegawai mengatakan mereka berhadapan dilema lain memastikan tempat perlindungan kecemasan tidak bertukar menjadi pusat jangkitan COVID-19.

    Amaran dinaikkan daripada skala tiga ke lima selepas Gunung Berapi Taal memuntahkan debu tebal kelabu ke udara kelmarin. Letusan lima minit mengeluarkan asap panas dan gas disusuli empat lagi letusan kecil, namun gunung berapi itu agak tenang hari ini, menurut ahli vulkanologi.

    Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina menyeru orang ramai menghindari pulau kecil di kawasan tasik pemandangan indah yang juga lokasi Taal dan dianggap zon bahaya kekal bersama sejumlah perkampungan di tepi tasik di wilayah Batangas, selatan Manila.

    Letusan Taal tahun lalu mengakibatkan beratus ribu orang dipindahkan dan menutup sejenak perkhidmatan lapangan terbang antarabangsa. Walau bagaimanapun, ketua agensi vulkanologi, Renato Solidum mengatakan ia terlalu awal untuk mengetahui jika keaktifan semasa gunung berapi itu akan membawa kepada letusan penuh.

    Pemindahan awal bermula lewat kelmarin melibatkan penduduk di lima buah kampung berisiko tinggi di bandar Laurel dan Agoncillo.

    Penduduk yang melarikan diri daripada bahaya Gunung Taal kelihatan berhimpun di sekolah yang dijadikan pusat perlindungan sementara, memakai penutup mulut dan hidung bagi mencegah penularan koronavirus di bandar Laurel, Batangas, 2 Julai. – AP

    Lebih daripada 14,000 orang dipindahkan sementara dari lokasi berhampiran gunung berapi, menurut Mark Timbal, jurucakap bagi agensi tindak balas bencana kerajaan.

    Pegawai perbandaran bagaimanapun berhadapan kesukaran tambahan memastikan tempat perlindungan kecemasan yang lazimnya di bangunan-bangunan sekolah, gim bola keranjang malah gereja, tidak menjadi titik panas koronavirus.

    Penduduk kampung yang dipindahkan diminta memakai penutup mulut dan hidung serta diletakkan dalam set khemah-khemah berjarak selamat, memerlukan ruang lebih luas berbanding masa sebelum pandemik.

    Di bandar Laurel, Imelda Reyes bimbang keselamatan dirinya dan keluarga di kediaman mereka berhampiran gunung berapi dan juga di pusat pemindahan sekolah yang sesak di mana mereka ditempatkan hari ini.

    “Jika kita kekal di rumah, gunung berapi boleh meletus bila-bila masa,” Reyes memberitahu The Associated Press.

    “Namun di sini, hanya seorang yang sakit boleh menjangkiti semua. Kedua-duanya pilihan merbahaya,” tambahnya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda