Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk kampung juga berupaya jadi pencipta, inovator

    KUCHING, 7 SEPT – Penduduk kampung dan masyarakat di luar bandar juga berpotensi menjadi pencipta dan inovator, bukan hanya golongan pakar atau saintis, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
     
    Beliau berkata Program Jejak Inovasi Sosial anjuran Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) berperanan sebagai platform untuk mencungkil bakat, mengenal pasti, membimbing serta membantu inovator tempatan di luar bandar agar idea mereka dapat dikembangkan demi manfaat komuniti setempat.
     
    “Setiap daripada kita boleh menjadi pencipta dan inovator asalkan ada kreativiti untuk berfikir bagaimana menyelesaikan masalah di sekeliling kita, sama ada di rumah, tempat kerja atau di kampung.
     
    “Contohnya, membuat kek lapis yang biasanya mengambil masa lama… kalau kita fikir bagaimana untuk mempercepatkan proses itu tanpa menjejaskan rasa dan kualiti, itu sudah dianggap langkah ke arah inovasi,” katanya ketika merasmikan Program Jejak Inovasi Sosial Zon Sarawak di Kampung Gita Baru, hari ini.
     
    Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pendekatan turun padang oleh YIM membolehkan masalah sebenar yang dihadapi masyarakat dikenal pasti secara langsung dan ditangani dengan penyelesaian yang lebih praktikal serta berkesan.
     
    Beliau turut menggesa masyarakat setempat yang lebih arif mengenai isu di kawasan masing-masing untuk bekerjasama dengan penyelidik serta agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian dalam skala lebih besar. – Bernama
     
    Fadillah melekatkan plak di pekarangan Masjid Al-Amin Kampung Gita Baru sempena Program Jejak Inovasi Sosial Zon Sarawak pada 7 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda