Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Penduduk Kampung Jerudong bersama ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK) Jerudong A dan B serta Persatuan Warisan Kampung Jerudong, pagi tadi, telah bergotong-royong membaik pulih tanah susur pada jalan sementara di Tanah Perkuburan Islam Polo, Kampung Jerudong.
Ia bertujuan untuk memudahkan orang ramai khususnya penduduk kampung Jerudong A dan B memasuki kawasan tanah perkuburan dengan menggunakan kenderaan.
Sebelum ini, tidak ada jalan masuk menggunakan kenderaan ke tanah perkuburan tersebut selain menggunakan tangga.
Turut menyertai aktiviti amal berkenaan ialah pemangku-pemangku ketua kampung Jerudong A dan B, Awang Nazmi Faiz bin Haji Abu Bakar dan Awang Kamis bin Panjang.
Aktiviti gotong-royong seumpamanya merupakan inisiatif berterusan bagi kesejahteraan penduduk kampung di samping mengeratkan silaturahim antara mereka.
