Penduduk kawasan rendah dinasihat pindah

KUCHING, 14 SEPT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan penduduk di dua kawasan rendah di daerah Kapit, wilayah tengah Sarawak untuk berpindah ke lokasi lebih tinggi berikutan paras air yang semakin meningkat ekoran hujan yang berterusan, sejak lewat malam tadi.

Menurut maklumat laporan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri hari ini, paras air dilaporkan meningkat di Kampung Baru dan Rumah Panjang Philimon, Kapit sejak kira-kira pukul 10 malam tadi dan keadaan yang sama turut berlaku di kawasan Long Loyang dan Kampung Stapang, Marudi di Bahagian Miri di utara Sarawak.

“(JBPM telah mengeluarkan) nasihat untuk berpindah ke rumah saudara terdekat yang tidak dinaiki air memandangkan keadaan air yang semakin meningkat,” menurut laporan itu. – Bernama