Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara serta ahli jawatankuasa takmir masjid berkenan buat julung kalinya menganjurkan kempen derma darah di Zon 1 A masjid tersebut.
Menurut Imam Masjid, Haji Hassan bin Haji Lusin, kempen bertujuan memudahkan penduduk Kampung Setia A dan B serta kawasan sekitarnya menderma darah untuk keperluan pihak hospital dan mereka yang memerlukan.
Kempen juga dibuat sebagai menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 dan sebagai satu aktiviti yang dijadikan salah satu acara dalam kalendar tahunan masjid, katanya.

Menurut salah seorang pegawai Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang bertugas pada kempen menderma darah itu, penduduk yang ingin menderma akan menjalani pemeriksaan seperti bacaan tekanan darah dan kandungan darah yang mencukupi sebelum menderma.
Penderma darah mendapat manfaat seperti pembakaran kalori sebanyak 500 hingga 600 setiap kali menderma darah, manakala melalui darah yang didermakan mereka, tiga nyawa dapat diselamatkan, selain tubuh akan merasa lebih sihat dan cergas, jelasnya.