LAHAD DATU, 30 Mac – Penduduk Lahad Datu bakal menikmati kemudahan perkhidmatan awam lebih selesa menerusi projek terminal bas baharu bernilai RM3 juta yang dijangka siap akhir tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad Tan Sri Datuk Lim Soon Peng berkata projek di tapak seluas 1.41 ekar (0.56 hektar) di First Palm City Centre (FPCC) berkapsiti menempatkan 19 buah bas ekspres dan 17 tempat letak teksi.
“Ia terletak berhampiran lokasi strategik FPCC di pusat bandar dan berhampiran dengan unit kedai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek itu oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor di sini, hari ini.
Sementara itu, Hajiji berkata usaha sektor swasta iaitu Titijaya Land Berhad bersama-sama Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dalam memajukan Lahad Datu bakal memacu ekonomi masyarakat setempat.
“Penduduk Lahad Datu juga beruntung kerana daerah ini berpotensi untuk terus membangun dalam pelbagai sektor termasuk aktiviti pembuatan dan pertanian,” katanya. – Bernama