JAKARTA, 23 JAN – Pihak berkuasa Indonesia di Lampung Barat, Sumatera Selatan menggesa penduduk, khususnya mereka yang tinggal berhampiran hutan dan habitat hidupan liar agar berwaspada berikutan kematian seorang lelaki tempatan disyaki dibaham harimau.
Zainudin yang berasal dari Purworejo, Jawa Tengah, baru sahaja berpindah ke Kubu Balak, Pekon Kegeringan di Batu Brak selama seminggu sebelum tragedi itu berlaku.
Pasukan penyelamat bersama Pasukan Petugas Mitigasi Konflik Harimau Sumatera menemukan mayat mangsa dalam keadaan tidak sempurna, dengan tangan dan kakinya ditemukan agak jauh dari lokasi serangan pada Selasa.
Pemangku Bupati Lampung Barat Nukman dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah dan menyeru usaha diperhebat untuk mencegah kejadian serupa pada masa hadapan.
“Ini bukan serangan pertama seumpamanya di kawasan ini,” katanya sambil menggesa penduduk di mukim Batu Brak dan Suoh supaya lebih berhati-hati bagi mengelak serangan harimau seterusnya.
Nukman menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran habitat hidupan liar khususnya kawasan yang sering dilalui gajah dan harimau agar berwaspada, terutamanya apabila berada berhampiran hutan. Beliau mengingatkan mereka tidak pergi ke ladang seorang diri dan sentiasa berteman untuk keselamatan.
Beliau juga mengingatkan penduduk agar tidak mengambil tindakan sendiri dengan cuba menangkap haiwan liar yang dilaporkan berkeliaran di kawasan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan menekankan kepen-tingan untuk mencegah lebih banyak korban.
Kematian Zainudin merupakan kes serangan harimau pertama yang mengakibatkan kematian di Lampung Barat tahun ini, selepas tiga kes kematian serupa pada 2024, termasuk dua insiden pada Februari dan satu pada September. – Bernama