Friday, February 14, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk luar bandar Sabah hargai STR

    TAMPARULI, 7 OGOS – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di sini amat menghargai inisiatif diperkenalkan Kerajaan Perpaduan itu kerana dilihat dapat membantu mereka menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

    Lebih menggembirakan mereka apabila bantuan itu disampaikan terus kepada penerima terutama yang tinggal di pedalaman tanpa perlu bersusah payah ke bank.

    Terletak kira-kira 35.5 kilometer dari Kota Kinabalu, kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) sanggup turun padang ke daerah yang terkenal dengan Jambatan Gantung Tamparuli itu, untuk membuka kaunter demi memastikan tiada penerima STR di luar bandar yang ketinggalan.

    Rayner Delboy, 24, dari Kampung Kiulu, berkata beliau terharu dan bersyukur dengan bantuan kerajaan itu kerana sedikit sebanyak ia telah meringankan bebannya.

    “Inisiatif dilaksanakan BSN dan LHDN juga sangat bagus terutama bagi penerima STR seperti saya yang tidak memiliki akaun dan memudahkan penduduk luar bandar menunaikan bantuan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

    Bonaventure Saudi, 39, dari Kampung Bundu Tohuri turut menghargai bantuan kerajaan itu dan akan menggunakan bantuan STR bagi membeli barang keperluan rumah.

    Petani dari Kampung Semodon, Gunis Duling, 62, pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas bantuan itu yang meringankan bebannya dalam menyediakan barang keperluan harian.

    “Terima kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan ini terutama untuk anak OKU (Orang Kurang Upaya) saya yang menghadapi masalah pembelajaran. Saya mewakili anak saya itu untuk menunaikan STR,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda