CAP-AUX-MEULES, KANADA – Di Teluk Saint Lawrence, di pulau-pulau kecil Magdalen, laluan pejalan kaki runtuh, tebing semakin surut dan beting pasir semakin hilang, mengakibatkan rumah-rumah terdedah kepada ombak yang membadai.
Kepulauan itu, yang merupakan sebahagian daripada wilayah Quebec di timur Kanada, sedang berlumba dengan masa – dan unsur-unsur semula jadi – untuk bertahan daripada pemanasan global. Penduduknya merasai kesan-kesan perubahan iklim setiap hari.
“Kepulauan Magdalen berada di barisan hadapan apabila berbicara tentang perubahan yang berlaku. Kami sangat kecil berbanding skala perubahan semua itu,” kata Mayka Thibodeau dari CERMIM, sebuah pusat penyelidikan yang memberi tumpuan kepada pembangunan mampan.
Perubahan itu nampaknya akan datang dengan cepat dan hebat, menyebabkan kira-kira 13,000 penduduk bingung, kerana mereka menyedari bahawa rumah pulau mereka perlu menyesuaikan diri dengan cepat dan radikal dalam tahun-tahun yang akan datang jika ingin terus bertahan.
Pantai yang indah di kepulauan itu telah pun terhakis, dengan surutan purata setengah meter setahun, menurut kajian oleh Universiti Quebec di Rimouski (UQAR).
Ia adalah angka yang membimbangkan Diane Saint-Jean dan pasangannya – mereka tinggal di pinggir pantai dan bimbang ribut besar akan menghanyutkan rumah mereka ke dalam air.
“Kami agak naif, pada awalnya kami fikir pasti akan ada jalan penyelesaian. Tetapi alam semula jadi membuktikan kami salah,” kata Saint-Jean dengan suara gementar sambil merenung tebing berhampiran, yang semakin terhakis.
Kedua-dua wanita itu tinggal di La Martinique, wilayah kecil yang menghubungkan dua pulau utama.
Mereka telah membelanjakan beribu-ribu dolar untuk mengukuhkan tebing di kaki halaman mereka, tetapi pada September 2022, Taufan Fiona melanda dengan kekuatan hebat, dengan cepat menghanyutkan batu gergasi yang sepatutnya melindungi harta benda mereka.
“Kami bangun pada suatu pagi dan menyedari kami telah mensia-siakan wang kami. Tetapi apa yang dapat kami lakukan?” keluh Saint-Jean, seorang pesara jururawat.
Kerja-kerja kecemasan yang mahal
Hakisan tanah adalah topik agak sensitif bagi kebanyakan penduduk di kepulauan Magdalen, yang pertama kali dihuni pada abad ke-18 dan terletak lebih lima jam perjalanan dengan bot dari benua Kanada.
Semua orang di sini masih ingat lokasi-lokasi yang kini telah hilang – terutamanya rumah-rumah yang terpaksa dipindahkan kerana risiko banjir.
Keadaan ini menyusahkan pihak berkuasa tempatan, yang terpaksa melabur berjuta-juta dolar untuk kerja-kerja kecemasan.
Di Cap-aux-Meules, di tengah bandar, sebahagian laluan pejalan kaki runtuh pada 2018, meninggalkan hospital, rumah persaraan dan tanah perkuburan dalam laluan langsung ombak berbahaya.
Tahun lepas, pihak berkuasa tempatan membina pantai berbatu besar, menggunakan 143,000 tan batu sepanjang 800 meter untuk menaikkan garisan pantai. Ia bukan kali pertama taktik ini digunakan.
“Penyelesaian wujud tetapi ia sangat mahal dan projek-projek ini perlu diselenggarakan. Jadi setiap kali kami campur tangan, ia menjadi beban cukai untuk masa depan,” jelas Jasmine Solomon, yang memantau hakisan.
“Kami berkemungkinan besar tidak akan dapat melindungi segala-galanya. Terdapat tempat-tempat yang perlu berubah, itu sudah pasti.”
Ais yang semakin menghilang
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kejadian cuaca ekstrem telah menjadi lebih kerap dan lebih dahsyat akibat perubahan iklim.
Kepulauan Magdalen dengan ketara kehilangan salah satu pertahanan terpen-ting mereka pada musim sejuk: ais. Ia sentiasa berfungsi sebagai pelindung, tetapi tanpanya, pantai akan terdedah sepenuhnya apabila ribut kencang melanda.
Dengan setiap kitaran pembekuan dan pencairan, tebing batu pasir merah runtuh dengan lebih mudah.
“Satu ribut boleh menghapuskan bukit pasir, tebing, atau bahkan menyebabkan rekahan di pantai,” kata Marie-Eve Giroux (gambar), pengarah pertubuhan alam sekitar tempatan, Attention Fragiles.
Selain meningkatkan kesedaran mengenai isu ekologi di sekolah-sekolah tempatan, kumpulannya mengusahakan pemulihan bukit pasir, dengan penanaman semula rumput pantai, yang membantu mengekalkan pasir di tempatnya kerana akarnya bertindak sebagai jaring semula jadi.
Pada kebanyakan masa, bukit pasir adalah satu-satunya pertahanan pantai terhadap ombak.
Kepulauan itu berada dalam bahaya akibat paras air yang semakin meningkat, nasib yang dikongsi oleh kawasan rendah lain di seluruh dunia. Ia juga sedang beransur-ansur tenggelam.
“Kita mesti meneliti semua senario yang realistik dan tidak boleh mengabaikan perubahan yang berlaku,” kata Thibodeau. “Kita tidak patut berserah sahaja dengan apa yang bakal terjadi. Kita mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian.”
Banyak projek, katanya, dijalankan oleh CERMIM untuk memulihkan pantai termasuk penggunaan cangkerang moluska untuk membuat konkrit. Ideanya adalah untuk menjadikan kepulauan itu sebagai makmal hidup dalam perjuangan global menentang perubahan iklim.
Bagi Marianne Papillon, seorang doktor dan penasihat kesihatan awam, masa untuk bertindak adalah sekarang.
Papillon menyandang pekerjaan yang agak baharu – menangani isu berkaitan perubahan iklim. “Kita mesti melakukan sesuatu secara kolektif. Tindakan individu tidak akan bermakna jika semua orang tidak terlibat,” jelasnya.
“Berdepan dengan ribut-ribut yang kita lihat, orang ramai mesti menjalinkan hubungan mental dengan perubahan iklim. Mereka mesti berasa lebih terlibat, dan melibatkan diri secara peribadi, tanpa menjadi terlalu tertekan dengan semuanya.” – AFP