Penduduk Malawi undi presiden

LILONGWE, MALAWI, 23 JUN – Penduduk Malawi kembali mengundi hari ini untuk kali kedua dalam tempoh setahun untuk mengundi presiden baharu selepas pemilihan semula Peter Mutharika dibatalkan disebabkan penipuan.

Pilihan raya itu amat dinanti-nantikan selepas Mahkamah Perlembagaan pada awal tahun ini memutuskan pengundian pada Mei 2019, yang dimenangi oleh Mutharika, dibelenggu ‘penyelewengan’ termasuk penggunaan cecair pembetulan di kertas keputusan.

Ia mengarahkan pilihan raya baharu diadakan dalam masa 150 hari selepas keputusan pada Februari.

Keputusan bersejarah itu, yang menjadi buah mulut dalam politik Afrika, menjadikan Malawi negara kedua di selatan Sahara yang mengetepikan keputusan pilihan raya presiden, selepas Kenya pada 2017.

“Saya berasa gembira kerana pemilihan semula ini merupakan hasrat penduduk. Dan dengan pengundian ini, saya berharap orang terbaik menang. Hasrat penduduk akan menang,” kata Peter Chadze, 25, ahli perniagaan yang tiba di stesen mengundi di ibu negara satu setengah jam sebelum pengundian dijangka bermula.

Pilihan raya hari ini adalah perlumbaan sengit di antara presiden dan pencabar utama Lazarus Chakwera, yang tewas dalam pilihan raya Mei 2019 sebanyak 159,000 undi.

Mutharika, 80, menang dengan 38.5 peratus daripada undi berbanding 35 peratus untuk Chakwera.

Hari ini, seorang calon perlu memperoleh lebih 50 peratus undi untuk diisytiharkan pemenang – had baharu yang dialu-alukan oleh Jawatankuasa Perhubungan Awam, kumpulan sivik berpengaruh. – AFP

Presiden Parti Kongres Malawi, Lazarus Chakwera membuang undi semasa pilihan raya presiden di stesen pengundian Malembo di Lilongwe kelmarin. – AFP