Saturday, December 21, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk Mayotte marah semasa berhadapan Macron ketika lawatan

    PARIS, 20 DIS – Beberapa penduduk dari wilayah luar negara Perancis yang terjejas akibat siklon di Mayotte menyambut kedatangan Presiden Perancis Emmanuel Macron semasa lawatannya dengan perasaan marah, lapor agensi berita Jerman (dpa) yang memetik siaran video Euronews.

    “Saya berasal dari Ouangani, tiada air, tiada bekalan,” seorang lelaki memberitahu Macron, merujuk kepada ibu kota Mayotte.

    Selepas enam hari, adakah itu dianggap normal? Adakah awda fikir itu normal?”

    Seorang lagi penduduk mempersoalkan Macron sama ada keadaan yang buruk di Mayotte juga berlaku di wilayah Perancis yang lain, atau hanya Mayotte sahaja yang diabaikan.

    Macron tiba di wilayah di Lautan Hindi itu pada Khamis dan bermalam di sana.

    Pada Sabtu, Siklon Chido melanda wilayah berkenaan dengan angin kencang mencapai kelajuan lebih 220 kilometer sejam, meninggalkan jejak kemusnahan. Secara rasmi, lebih 2,000 orang cedera dan 31 terkorban. Bagaimanapun, pihak berkuasa bimbang angka korban sebenarnya jauh lebih tinggi.

    Mayotte terletak di Lautan Hindi, antara pantai Mozambique, negara di tenggara Afrika dan Madagascar. Kira-kira 310,000 orang tinggal di kepulauan itu, dengan purata umur penduduknya yang muda hanya 23 tahun.

    Macron berkata beliau ingin meluangkan lebih masa bersama penduduk dan pekerja bantuan sebagai tanda hormat, seperti yang dijelaskan dalam video yang dimuat naik di platform X.

    Sebelum ini, presiden itu mengumumkan rancangan untuk membangunkan semula Mayotte. Beliau menegaskan semasa lawatannya ke kepulauan itu bahawa semua sumber akan disediakan untuk tujuan berkenaan.

    Bagi mereka yang tidak mempunyai insurans, Macron merancang untuk menubuhkan dana pampasan.- Bernama

    Presiden Perancis semasa mengadakan lawatan ke Mayotte. -AFP

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda