DONG NAI, VIETNAM, 6 APRIL – Lapisan habuk tebal dari pembinaan lapangan terbang besar di Vietnam telah menyelubungi kawasan kejiranan berdekatan selama berbulan-bulan, mengotorkan segala-galanya daripada pokok ke rumah hingga pakaian seragam pelajar sekolah dengan warna merah yang menjijikkan.
Terletak 40 kilometer dari hab perniagaan selatan Ho Chi Minh City, la-pangan terbang empat landasan Long Thanh – akan menjadi yang terbesar di negara itu – diramalkan mengangkut 100 juta penumpang dan lima juta tan kargo setiap tahun sebaik sahaja
siap.
Tetapi selepas kerja-kerja pembinaan berat dimulakan awal tahun ini, penduduk sejauh 10 kilometer dari tapak itu telah hidup di bawah kepulan awan debu, mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatan dan kemarahan mereka atas gangguan terhadap kehidupan mereka.
“Ia tidak dapat ditanggung. Debu merah ada di mana-mana dalam komuniti kami,” kata Tran Minh Hoang, yang tinggal di daerah Binh Son, wilayah Dong Nai.
Hoang, 59, memulakan setiap hari dengan menyiram halaman depannya untuk membuang kotoran, tetapi habuknya sangat teruk sehingga dia terpaksa membalut jaring nilon halus di seluruh bahagian depan rumah.
“Ia telah membantu sedikit,” katanya kepada AFP.
Isterinya, Nguyen Thi Tuyet Hanh berkata mereka telah menghalang cucu mereka yang berusia satu tahun daripada keluar rumah selama berbulan-bulan.
Lapisan habuk tebal dapat dilihat di pekarangan sekolah tempatan, manakala gambar di media kerajaan menunjukkan buku-buku teks, bilik darjah dan pakaian seragam kanak-kanak telah bertukar merah selepas hari persekolahan. – AFP