Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk New York diberi amaran bencana ribut guna dron

    NEW YORK, 7 OGOS — Tiada lagi bunyi siren amaran. Sebaliknya, pegawai pengurusan kecemasan New York City beralih ke teknologi tinggi, iaitu menggunakan dron untuk memberi amaran kepada penduduk tentang cuaca yang mengancam.

    Dengan bunyi berdengung di latar belakang, dron yang dilengkapi dengan pembesar suara terbang di atas rumah memberi amaran kepada orang yang tinggal di tingkat bawah tanah atau pangsapuri di aras bawah tentang hujan lebat yang akan berlaku.

    “Bersedia untuk meninggalkan lokasi anda,” bunyi suara dalam rakaman yang dikeluarkan dari dron oleh agensi pengurusan kecemasan bandar itu kelmarin. “Jika banjir berlaku, jangan teragak-agak untuk bertindak.”

    Kira-kira lima pasukan dengan beberapa dron masing-masing dikerahkan ke kawasan kejiranan tertentu yang terdedah kepada banjir. Zach Iscol, pesuruhjaya pengurusan kecemasan bandar itu, berkata mesej amaran disampaikan dalam pelbagai bahasa. Langkah ini dijangka diamalkan berterusan sehingga cuaca menjejaskan penerbangan dron mereka.

    Banjir kilat telah membawa maut bagi penduduk New York yang tinggal di pangsapuri bawah tanah, yang boleh dipenuhi dengan cepat semasa banjir. Sebelas orang mati lemas di rumah sedemikian pada 2011 di tengah-tengah hujan semasa Taufan Ida.

    Drone itu adalah tambahan kepada hebahan kecemasan lain, termasuk media sosial, amaran teks dan sistem yang menjangkau lebih 2,000 organisasi berasaskan komuniti di seluruh bandar yang memberi perkhidmatan kepada warga emas, orang kurang upaya dan kumpulan lain.

    “Anda tahu, kita hidup dalam gelembung dan kita perlu bertemu orang di mana mereka berada dalam pemberitahuan supaya mereka boleh bersedia,” kata Datuk Bandar New York City, Eric Adams pada taklimat akhbar kelmarin.

    Adams ialah ‘pengamal teknologi’ yang mana pentadbirannya telah memanfaatkan teknologi dron untuk memantau perhimpunan besar serta mencari jerung di pantai. Di bawah pengawasannya, jabatan polis di bandar itu juga menjalankan percubaan ringkas dengan menggunakan robot untuk meronda stesen kereta api bawah tanah Times Square dan kadangkala mengerahkan anjing robot ke tempat kejadian yang berbahaya termasuk garaj tempat letak kereta Manhattan yang runtuh pada 2023. – AP

    Gambar Unsplash

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda