NEW YORK, 31 DIS – Ketika tahun 2020 berakhir, beberapa penduduk New York boleh menambah satu lagi masalah kepada senarai panjang kesusahan yang menimpa pada tahun ini, iaitu tupai ganas.
Penduduk yang menetap di kawasan Rego Park Queens telah melaporkan beberapa serangan tupai sejak sebulan lalu, dengan seorang wanita memerlukan rawatan kecemasan selepas digigit tupai di tangan. Seorang penduduk memberitahu media tempatan dia meninggalkan rumah dengan semburan lada sulah sekiranya terserempak dengan tupai ganas, dan menyuarakan kebimbangan terhadap anak mereka.
“Secara tiba-tiba saya diserang,” beritahu Micheline Frederick kepada stesen tempatan ABC7 di mana seekor tupai menggigit dan mencakar lehernya, yang memerlukannya menerima suntikan rabies sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam satu kenyataan, jabatan kesihatan bandar menasihatkan penduduk ‘supaya mengupah pemerangkap berlesen dari New York.’
“Tupai dan kebanyakan haiwan rodensia lain jarang didapati dijangkiti rabies,” kata jabatan kesihatan, memberitahu penduduk supaya melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan mana-mana haiwan yang nampaknya dijangkiti. Kebanyakan tupai di bandar New York berwarna kelabu, menurut jabatan taman, dan menghuni kawasan itu bersama burung merpati dan tikus yang merayau-rayau pada waktu malam.
Jabatan taman mengingatkan penduduk supaya jangan memberi makan kepada tupai, yang boleh membuat mereka kurang takut pada manusia. – AFP
