Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk Palestin diancam kebuluran

    SEMENANJUNG GAZA, 21 FEB – Pertempuran sengit melanda Gaza hari ini ketika agensi bantuan memberikan amaran tentang kebuluran yang bakal berlaku, sehari selepas resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa gencatan senjata segera telah disekat oleh veto Amerika Syarikat (AS).

    Washington, yang berhujah bahawa resolusi itu akan menjejaskan usaha berterusan untuk membebaskan tebusan, telah menghantar pegawai tertinggi Rumah Putih, Brett McGurk ke Kaherah untuk rundingan baharu melibatkan pengantara dan Hamas.

    Kebimbangan global telah meningkat berikutan jumlah kematian orang awam yang tinggi dan krisis kemanusiaan yang teruk dalam peperangan yang dicetuskan oleh serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel.

    Pertempuran dan kekacauan sekali lagi menghalang penghantaran bantuan untuk penduduk Gaza yang terdesak, di mana PBB telah memberikan amaran bahawa 2.4 juta penduduk berada di ambang kebuluran dan mungkin menghadapi ledakan kematian kanak-kanak.

    Program Makanan Sedunia PBB berkata ia terpaksa menghentikan penghantaran bantuan di utara Gaza disebabkan ‘keadaan huru-hara dan keganasan’ selepas konvoi trak mengalami tembakan dan dirampas oleh penjarah.

    Lebih banyak serangan Israel melanda Gaza, meninggalkan 103 orang terbunuh pada waktu malam, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah yang ditadbir pejuang Hamas, yang meletakkan jumlah kematian keseluruhan pada 29,313.

    “Kami tidak boleh tahan lagi,” kata Ahmad, seorang penduduk di bandar Gaza, di mana seluruh kawasan telah hancur dibedil dan jalan-jalan dipenuhi runtuhan.

    “Kami tidak mempunyai tepung, kami pun tidak tahu hendak pergi ke mana dalam cuaca sejuk ini,” katanya.

    “Kami menuntut gencatan senjata. Kami mahu hidup.” – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda