Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk pukul beruang hingga mati

    TEHRAN, 25 APRIL – Seekor beruang perang di Iran mati selepas dipukul oleh penduduk kampung tempatan berhampiran Bandar Namin di barat laut wilayah Ardabil, lapor agensi berita IRNA.

    “Penduduk kampung menahan haiwan tersebut,” kata IRNA, kelmarin, sambil menambah mereka ‘melakukan kaedah dan tingkah laku yang tidak betul dengan memukul dan mencederakannya.’

    Gambar yang diterbitkan oleh IRNA menunjukkan beruang itu diikat di lehernya pada mesin penggali, manakala roda berat traktor ladang telah digunakan untuk menghimpit kaki belakang haiwan itu ke tanah.

    Dikhabarkan penduduk kampung menggunakan ‘alat seperti traktor’ untuk mengawal beruang itu, menyebabkan kecederaan parah pada haiwan itu termasuk kaki, pinggul dan tulang belakangnya patah.

    Beruang perang yang ditemui terutamanya di hutan di utara dan barat Iran, dikategorikan sebagai terancam dalam Senarai Merah IUCN spesies berisiko.

    Beruang menghadapi pelbagai ancaman di Iran, berdepan konflik ketika petani mempertahankan tanaman dan ternakan mereka, menambah lagi tekanan terutamanya di musim kemarau dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Pegawai perlindungan alam sekitar kemudian tiba, dan membawa beruang itu ke klinik hidupan liar, di mana ia mati akibat kecederaannya, menurut IRNA. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda