Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk Pulau Christmas bantu jutaan ketam berhijrah

    MELBOURNE, 23 OKT – Puluhan juta ketam merah kini berhijrah ke laut dalam fenomena tahunan di Pulau Christmas, Australia, di mana penduduk tempatan menggunakan peniup daun dan penyapu taman bagi membantu memastikan perjalanan haiwan itu selamat.

    Menurut Pemangku Pengurus Taman Negara Pulau Christmas, Alexia Jankowski, terdapat sehingga 200 juta ketam merah spesies endemik Gecarcoidea natalis di pulau kecil di Lautan Hindi itu, dengan kira-kira 100 juta daripadanya dijangka bergerak dari hutan menuju ke pantai untuk membiak.

    Perjalanan besar-besaran itu bermula selepas musim hujan hemisfera selatan melanda hujung minggu lalu, menandakan permulaan migrasi tahunan yang luar biasa.

    Jankowski berkata, ketam biasanya berlindung daripada panas pada waktu tengah hari, namun pada awal pagi dan lewat petang, jutaan ketam akan perlahan-lahan bergerak ke pesisir pantai melalui jalan raya dan kawasan kediaman.

    Penduduk pulau yang berjumlah sekitar 1,200 orang turut memainkan peranan menjaga keselamatan haiwan tersebut dengan membersihkan laluan dan mengalihkan ketam dari jalan.

    Ketam merah menyeberangi jalan semasa penghijrahan tahunan mereka di Pulau Christmas, Australia. – AP

    “Sesetengah orang mungkin menganggapnya menyusahkan, tetapi bagi kami ia sesuatu yang istimewa untuk disaksikan.

    “Ketam itu tidak memilih laluan, apa sahaja halangan akan diterjah. Jika pintu rumah terbuka, awda mungkin mendapati ruang tamu dipenuhi ketam merah,” katanya.

    Jankowski menambah, ada penduduk yang terpaksa menyapu ketam keluar dari laluan masuk rumah atau garaj sebelum memandu bagi mengelakkan daripada melanggar krustasea tersebut.

    Di kawasan pantai, ketam jantan menggali lubang untuk dijadikan tempat ketam betina bertelur dan mengeram telur selama dua minggu.

    Semua ketam betina dijangka melepaskan telur ke laut pada 14 atau 15 November ketika air pasang.

    Anak ketam akan menghabiskan kira-kira sebulan di laut sebagai larva sebelum kembali ke Pulau Christmas bagi meneruskan kitaran kehidupan mereka. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda