BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Dalam tempoh beberapa bulan mendatang ini akan menyaksikan pemasangan rangkaian Fibre-to-the-Home (FTTH) bagi penduduk Skim Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang tatkala Telekom Brunei Berhad TelBru meneruskan program pemasangan gentian optiknya di keempat-empat daerah.
Serupa dengan inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi penduduk di Skim RPN Bukit Beruang, penghuni 1,800 buah rumah di RPN Meragang dijangka akan menerima sambungan aktif menjelang Mei 2017, menurut kenyataan yang dikeluarkan TelBru, hari ini.
TelBru dalam kenyataannya juga menyatakan bahawa pembinaan rangkaian FTTH bagi kawasan berkenaan, yang akhirnya akan menawarkan sambungan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) bagi penduduk RPN Meragang, telah bermula pada Disember 2016.
Menjelang Jun tahun ini, setiap rumah di kawasan tersebut akan disediakan dengan sambungan telefon dan jalur lebar yang sedia untuk ‘dihidupkan’ atas permintaan pelanggan. Menurut kenyataan itu lagi, selaras dengan objektif utama TelBru dalam menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang boleh dipercayai untuk negara ini, pemasangan bagi penduduk RPN Meragang adalah sebahagian daripada inisiatif TelBru dalam menggalakkan pertumbuhan penggunaan ICT yang bertanggungjawab di negara ini dan pada masa yang sama mempromosikan inisiatif Negara Pintar TelBru yang bergantung pada sambungan Internet yang konsisten.
Selari dengan pemasangan di kawasan-kawasan yang belum menerima sambungan berkenaan, TelBru terus berusaha menggantikan teknologi tembaga yang usang dengan optik gentian tahan lama dan tahan lasak,
Peningkatan teknologi berkenaan, yang boleh bertahan selama berdekad-dekad telah merekodkan kelajuan yang tidak pernah berlaku sebelumnya di beberapa buah negara lain, satu kejayaan yang syarikat itu inginkan bagi masa depan Brunei tatkala permintaan sambungan data tanpa halangan di negara ini terus meningkat.
Bagi pertanyaan lanjut, para pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan TelBru di talian 111 atau mengikuti syarikat berkenaan di platform-platform media sosialnya.