Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk Sydney diarah untuk berpindah

    SYDNEY, 9 OKT – Perkhidmatan kecemasan Australia hari ini mengeluarkan arahan berpindah kerana banjir bagi kawasan kejiranan di Sydney dan sekitarnya ketika paras air di sungai meningkat selepas hujan lebat beberapa hari.

    Pegawai melaporkan 28 panggilan penyelamatan banjir dalam tempoh 24 jam di negeri bahagian timur New South Wales (NSW), kebanyakan orang ramai yang cuba memandu di jalan yang ditenggelami air.

    “Ia sangat berbahaya di luar sana dan kami menyaksikan banyak kejadian banjir kilat dan paras air di sungai-sungai meningkat,” kata pesuruhjaya Perkhidmatan Kecemasan Negeri NSW, Carlene York semasa sidang media.

    Belasan arahan berpindah telah dikeluarkan bagi kawasan-kawasan kejiranan yang rendah di pinggir barat laut Sydney dan beberapa buah kawasan lain di NSW, menurut kenyataan perkhidmatan kecemasan.

    Ia turut mengeluarkan amaran bagi kira-kira 20 buah kawasan berisiko di negeri itu bagi persediaan untuk berpindah ketika paras air di sungai meningkat.

    Turunan hujan semakin mereda tetapi air banjir masih mengalir di sungai-sungai di pedalaman dan di bahagian tengah pantai NSW, menurut biro meteorologi negeri itu.

    Bandar Sydney sudah mencatat tahun yang paling basah sejak mula direkodkan pada 1858.

    Kejadian banjir di pantai timur Australia pada Mac lalu, yang disebabkan hujan ribut yang memusnahkan beberapa buah kawasan di Queensland dan NSW, meragut lebih 20 jiwa.

    Puluhan ribu penduduk Sydney diarahkan untuk berpindah pada Julai apabila banjir melanda kawasan pinggir bandar. – AFP

    Seorang penduduk melintasi sebuah jalan di Sydney ketika cuaca hujan. Perkhidmatan kecemasan Australia telah mengeluarkan arahan berpindah kemungkinan banjir akan melanda kawasan kejiranan di Sydney. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda