TAWAU, 5 OKT – Penduduk di sini hari ini mulai memanfaatkan pembelian beras bersubsidi iaitu Beras Putih Import (BPI), pada kadar lebih rendah antara RM26.50 sehingga RM28.50 bagi kampit 10 kilogram.
Ardiansa Jaafar, yang ditemui pemberita, berasa cukup gembira apabila kerajaan mengumumkan beras bersubsidi untuk Sabah dan Sarawak, yang membawa kepada penurunan harga beras.
“Sebelum ini ‘sakit’ juga beli beras apabila harga naik, setiap bulan saya biasanya beli 20 kilogram beras untuk keluarga di rumah, apabila harga naik bulan lalu, rasa terbeban sangat, tetapi syukur kerajaan mendengar rintihan rakyat berkaitan harga beras naik ini, hari ini dengan memberikan subsidi beras kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Baru-baru ini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan bersetuju memberi subsidi sebanyak RM950 setiap tan bagi bekalan BPI di Sabah dan Sarawak mulai 5 Oktober, sekali gus harga runcit BPI di kedua negeri akan turun kepada RM31 bagi kampit 10 kilogram.
Bagi Ramlan Bakar, 66, pula, penurunan harga beras itu bertepatan dalam membantu rakyat yang terkesan dengan keseluruhan kenaikan kos sara hidup.
“Bukan sahaja golongan berpendapatan rendah terkesan, golongan M40 juga turut terkesan kerana beras ini satu keperluan, kita juga merasa kenaikan harga barang yang lain, jadi apabila kerajaan membantu memberi subsidi dan harga beras ini turun, kita cukup bersyukur, terima kasih,” katanya. – Bernama


