Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk Temburong sama-sama meriahkan Jubli Emas

    Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

     

    TEMBURONG, 6 Okt – Penduduk Daerah Temburong, semalam, tidak ketinggalan untuk bersama-sama melakar sejarah gilang-gemilang pada Istiadat Perarakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta di ibu negara, semalam.

    Untuk mencapai hasrat tersebut mereka telah hadir seawal pukul 5 pagi untuk berkumpul di perkarangan Bangunan Jabatan-jabatan Kerajaan Daerah Temburong untuk bertolak ke Bandar Seri Begawan.

    Mereka telah menaiki sebanyak 30 buah bas yang disediakan secara percuma menuju ke ibu negara melalui Daerah Limbang, Sarawak seterusnya menyeberangi Sungai Brunei melalui jambatan baru di Sungai Kebun.

    Kesempatan yang julung kalinya dirasakan bersama ribuan orang ramai dari pelbagai peringkat umur berhimpun di sepanjang jalan khususnya di pusat bandar dan kawasan pusat membeli-belah merupakan detik keemasan untuk ristaan generasi akan datang.

    Sebahagian daripada warga Daerah Temburong yang turut hadir memeriahkan suasana.

    Sekumpulan ahli majlis perundingan kampung di Daerah Temburong yang ditemui melahirkan rasa sangat bersyukur kerana dapat merayakan Jubli Emas sekali gus turut memeriahkan Istiadat Perarakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta bersama rakan dan sahabat handai mereka daripada institusi mukim dan kampung seluruh negara sambil melaungkan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!’.

    Bagi tiga orang remaja yang juga sempat ditemui, mereka meluahkan rasa teruja menonton secara langsung istiadat penuh gilang-gemilang tersebut. Seperti yang dapat dilihat, ada yang datang bersama keluarga, pasangan dan rakan-rakan bagi melihat sendiri Istiadat Perarakan sempena Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda