HANOI, 12 MAC – Vietnam dijangka menyambut warganegara ke-100 juta bulan depan dengan kempen awam untuk mempromosikan kesan pertumbuhan populasi ke atas ekonomi, agensi berita Vietnam melaporkan hari ini.
Menurut Pejabat Statistik Am, Vietnam mempunyai 99.2 juta orang penduduk setakat April 2022, menjadikannya negara ke-15 paling ramai di dunia dan antara tiga negara paling ramai penduduk di Asia Tenggara.
Pejabat statistik negara itu berkata dengan berdepan peningkatan persaingan ekonomi global, setiap negara ingin merebut kelebihan kompetitif menerusi sumber manusia.
Vietnam akan menyambut kelahiran warganegaranya ke-100 juta sebagai ‘mercu tanda yang membanggakan’, digabungkan dengan dasar-dasar untuk memberikan insentif kepada pertumbuhan ekonomi dan pelaburan, dalam meningkatkan profil negara di kalangan komuniti antarabangsa, menurut pejabat statistik.
Pihak kerajaan merancang kempen awam pada pertengahan April, termasuk perarakan dan upacara pertemuan untuk mengalu-alukan kelahiran warganegara ke-100 juta.
Jumlah kadar kesuburan, bilangan anak seorang wanita Vietnam sepanjang hayat ialah antara enam dan tujuh hingga awal 1960an.
Ia menurun kepada 4.8 pada 1979 dan kemudian terus menurun, mencapai tahap penggantian kesuburan sekitar dua sejak 2006, menurut Tabung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Aktiviti Kependudukan (UNFPA). – Xinhua