RIO DE JANEIRO, 15 DIS – Penebangan hutan Amazon sepanjang November meningkat sebanyak 104 peratus berbanding tempoh sama pada 2018, menurut data rasmi dikeluarkan semalam.
Menurut Institut Penyelidikan Angkasa Nasional Brazil (INPE), penebangan membabitkan kawasan seluas 563 kilometer persegi pada bulan itu juga adalah yang paling tinggi untuk setiap November, sejak 2015.
Ia adalah satu peningkatan yang signifikan, apatah lagi selepas mengambil kira faktor bahawa penebangan hutan lazimnya jarang berlaku pada musim hujan.
Penebangan hutan menelan kawasan seluas 8,974.3 kilometer persegi sepanjang tempoh 11 bulan pertama tahun ini, termasuk bulan pertama perkhidmatan Jair Bolsonaro, iaitu presiden berhaluan kanan yang memansuhkan larangan meneroka khazanah milik Amazon.
Ia adalah dua kali ganda lebih tinggi dari 4,878.7 kilometer persegi yang dilaporkan untuk 11 bulan pertama tahun lalu.
Data berkenaan dikumpul oleh sistem berasaskan satelit, DETER yang memantau aktiviti penebangan hutan.
Satu lagi sistem berasaskan internet digunakan INPE dikenali sebagai PRODES yang dianggap lebih meyakinkan pula melaporkan, penebangan hutan di Amazon melepasi pegangan 10,000 kilometer persegi buat kali pertama sejak 2008, dalam tempoh 12 bulan bermula Ogos 2018.
Ia mewakili kenaikan 43 peratus dan penebangan di kawasan didiami komuniti Orang Asli meningkat lebih pantas, sebanyak 74.5 peratus berbanding waktu sebelumnya, lapor INPE.
Secara keseluruhan, PRODES melaporkan bahawa hutan tropika terbesar dunia itu kehilangan 10,100 kilometer persegi dalam tempoh 12 bulan, berbanding 7,033 kilometer persegi sepanjang 12 bulan sebelumnya.
Pada Jumaat lalu, bekas presiden INPE, Ricardo Galvao dinamakan sebagai seorang daripada 10 saintis terpenting dunia oleh jurnal terkenal British Nature.
Beliau pada awal Ogos lalu dipecat oleh kerajaan Bolsonaro yang menuduh pakar berkenaan sengaja menokok tambah cerita berhubung penebangan hutan Amazon. – AFP