Oleh Nina Muslim –
KUALA LUMPUR/IPOH – Perasaan bimbang dan sedih jelas terpancar di wajah lelaki yang menjadi penunjuk jejak untuk saya meninjau kawasan bukit dan sungai berhampiran kampungnya.
Dengan sebilah parang yang digelar ‘isterinya’ terselit di pinggang, dia melemparkan pandangan ke arah bukit berdekatan kampungnya, Kampung Orang Asli Sungai Tonggang yang terletak di dalam Hutan Simpan Bukit Kinta, Perak.
Gambar yang dirakam satelit Google Earth pada 16 Februari 2024 menunjukkan kawasan itu penuh dengan pokok dan tumbuhan. Kini, bahagian atas bukit itu sudah gondol, ditarah menjadi lereng, mendedahkan tanah berwarna kuning.
Di kaki bukit itulah terdapat Sungai Semat yang tampak lebih sebagai anak sungai.
Lebarnya sekitar satu meter dan mengalir terus ke Sungai Kinta, salah satu sungai utama di Perak.
Pada waktu tengah hari bulan Jun itu, jelas kelihatan kawasan tebingnya tiada tumbuhan, kecuali sedikit belukar.
Penduduk kampung berkenaan terdiri daripada suku kaum Temiar dan sesama mereka berkata, kerajaan negeri membuka kawasan itu untuk petani bebas atau pekebun kecil untuk menanam pokok durian.
Semua cakap-cakap itu tidaklah merungsingkan penunjuk jejak, Long ‘Rambo’ Kamaruddin, 64, berbanding kebimbangannya melihat bukit yang gondol dan keadaan tebing sungai.
Dia memberitahu Bernama, dengan ketiadaan zon penampan sungai, sudah terdapat tanda-tanda sungai itu akan ‘tercemar’ semula.
“Hari itu ada sedikit hujan dan air sungai menjadi keruh. Hujan sekejap itu hari, air dah keruh dah. Macam air susu tak cukup teh. Tapi ini susu terus, takde teh. Itu belum hujan lebat lagi, tau,” katanya, tangannya memegang secawan teh susu.
Long betah hidup di hutan daripada di dalam rumah dan dia langsung tidak mempunyai telefon bimbit. Apa yang berlaku seolah-olah kehidupannya terperangkap antara hutan dan sungai.
“Kami tebang untuk ladang kan, jauh dari tepi sungai. Nak tanam ubi ke, nak tanam apa, kami tak tebang tepi sungai,” katanya.
Selain menjadi sumber air minuman, sungai mempunyai makna yang besar untuk penduduk negeri Perak.
Sumber alam semula jadi ini memainkan peranan penting dalam sejarah dan budaya di negeri itu. Pada masa ini, sungai-sungai di Perak adalah antara yang paling bersih di negara ini.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak melaporkan pada 2 April 2024, sebanyak 56 daripada 68 sungai di Perak diklasifikasikan sama ada Kelas Satu, yang bermakna sungai-sungai itu memerlukan sedikit rawatan air dan menyokong spesies hidupan marin paling sensitif seperi ikan kelah, atau Kelas Dua, yang memerlukan rawatan air konvensional, untuk menyokong kehidupan spesies marin lain dan sesuai untuk kegiatan rekreasi.
Namun, mereka mengingatkan bahawa sesetengah tindakan melibatkan sungai-sungai di Perak, seperti kegiatan menebang hutan tanpa kawalan serta kegiatan menceroboh zon penampan sungai, mungkin menjadikan keadaan lebih buruk untuk masyarakat setempat, ekosistem, alam sekitar serta ekonomi.
“Secara perlahan-lahan, tetapi kesudahannya, kualiti air akan menurun. Kedua-dua kualiti dan kuantiti,” kata Prof (bersara) Maketab Mohamed, sebelum ini berkhidmat dengan Universiti Teknologi Malaysia.
Beliau menambah, satu lagi fungsi zon penampan sungai adalah ia menyediakan habitat mini untuk hidupan liar, ‘dari serangga kepada burung kepada mamalia.’
Di sebalik kepentingan itu, pencerobohan ke atas zon penampan sungai sering kali menjadi aspek yang ‘terlepas pandang’ dalam mengekalkan kebersihan sungai.
Terdapat beberapa undang-undang yang menangani isu zon penampan sungai di Malaysia.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang terletak di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), mempunyai garis panduan berapa luas sepatutnya zon penampan.
Seperti garis panduan, keluasan zon penampan seharusnya kira-kira lebar sungai di kedua-dua bahagian, kepada lebar maksimum 50 meter.
Bagaimanapun, JPS mempunyai kurang kuasa penguatkuasaan, kerana tebing sungai dianggap berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Di bahagian hilir sungai di mana Sungai Kinta bertemu dengan Sungai Perak di Kampung Bandar, terdapat beberapa buah kebun kecil kelapa sawit di sepanjang sungai.
Kebanyakan pekebun kecil menanam kelapa sawit, ada yang sehingga di tebing sungai.
Terdapat beberapa batang pokok kelapa sawit yang tumbang ke dalam sungai, akibat hakisan sungai.
Ada juga yang hampir-hampir hendak tumbang. Meskipun kedua bahagian tebing sungai dipenuhi kehijauan, anggota Kumpulan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Ahmad Nizar Kamaruddin berkata hanya satu tebing mempunyai kehijauan yang betul.
Sama ada mata pencarian atau tidak, pekebun kecil mungkin tidak mempunyai pilihan, tidak lama lagi.
Sejak Jun 2023, Kesatuan Eropah (EU) mengharamkan minyak sawit dan derivatif, sekiranya ada kaitan dengan penebangan hutan selepas tahun 2019.
Pada masa ini, pensijilan minyak sawit Malaysia tidak menghukum pekebun kecil kerana tidak memenuhi peraturan zon penampan sungai.
Bagaimanapun, perkara itu adalah antara keperluan alam sekitar untuk mendapat pensijilan.
Wan Muqtadir Wan Abdul Fatah, Ketua Sustainability at British Standards Institution (BSI) Malaysia memberitahu Bernama melalui e-mel, pencerobohan bukan sesuatu yang selalunya menjadi perkara utama untuk pensijilan memandangkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) bertujuan membantu pekebun kecil dalam tempoh peralihan kepada amalan mampan.
Berita baiknya ialah bukan sukar untuk membaiki zon penampan. Perkara penting adalah untuk menanam pokok dan pokok renek yang akarnya boleh menggenggam kuat tanah.
Banyak pertubuhan bukan kerajaan mempunyai tapak semaian yang menanam pokok semula jadi tepi sungai serta pokok lain, yang dapat membantu memulihkan zon penampan. Dan masa masih ada untuk berbuat demikian.
Masih segar dalam ingatan Long ketika kegiatan membalak dihentikan. Keadaan sungai menjadi pulih tidak lama selepas itu, dan kebanyakan ikan dan serangga kembali membiak.
“Satu tahun, dah tak hakis dah sungai. Rumput-rumput akan naik. Dah tutup, tak kena hakislah bila kena hujan,” kata Long. – Bernama