WASHINGTON, 27 Feb – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin berkata dia akan bergegas tanpa senjata ke sekolah di Florida yang disasarkan oleh penyerang tembakan rambang itu, ketika para pelajar yang terselamat dari penyerangan itu meneruskan kempen mereka untuk menggesa pengawalan senjata kepada ahli Kongres.
Hampir dua minggu selepas insiden penembakan yang menyebabkan 17 orang terkorban, di Parkland, Florida itu, penggubal undang-undang AS bersidang semula selepas rehat seminggu di bawah tekanan keganasan senjata api.
Sejak itu, Trump menyeru pembaharuan termasuk pemeriksaan latar belakang yang lebih ketat kepada pembeli senjata api, tetapi Rumah Putih belum mengumumkan sokongan bagi undang-undang tertentu di Kongres, di mana pengundian senjata api persekutuan menghadapi halangan utama ketika tahun pilihan raya.
Semasa mesyuarat Rumah Putih dengan gabenor negeri AS, Trump berkata dia sanggup berdepan dengan penembak itu.
“Saya benar-benar percaya saya akan berlari ke sana walaupun saya tidak mempunyai senjata,” kata Trump. “Anda tidak tahu, sehingga anda diuji.”

Sebelum ini, dia telah mengkritik seorang pegawai bersenjata yang gagal untuk campur tangan terhadap penembakan 14 Februari di Sekolah Menengah Marjory Stoneman Douglas.
Selain itu, Trump juga mengkritik prestasi sesetengah penguat kuasa undang-undang tempatan yang ‘secara jujurnya menjijikkan’.
Pegawai itu, Scot Peterson, menolak dakwaan Trump melalui peguamnya, mengatakan dia berada di luar bangunan sekolah kerana dia mempercayai kejadian tembakan itu berlaku di luar sekolah.
“Dakwaan bahawa Scot Peterson adalah seorang pengecut dan prestasinya gagal untuk memenuhi standard pegawai polis adalah tidak benar,” kata peguam Peterson, Joseph DiRuzzo dalam satu kenyataan. – AFP