Monday, December 2, 2024
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penempa parang kekal aktif pada usia 91 tahun

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Meskipun sudah mencecah usia 91 tahun, bukanlah menjadi penghalang bagi Haji Omar bin Daud meneruskan minat yang mendalam dalam pembuatan parang yang diwarisi secara turun temurun.

    Dalam masa yang sama pembuatan paranglah menjadi sumber rezeki sampingan bagi warga emas yang berasal dari Kampung Belimbing, Subok ini.

    Ketangkasan Haji Omar meletakkan besi ke dalam timbunan arang dan hayunan tukul tanpa henti untuk mendapatkan hasil yang diinginkan, menunjukkan beliau kekal aktif menempa parang dengan penuh semangat.

    Kenali pembuatan parang sejak kecil

    Beliau yang dilahirkan di Kampung Pandai Besi di Kampong Ayer, mula bergiat dalam pembuatan parang ini semasa berusia enam tahun, yang mana pada waktu itu beliau sering dibawa oleh ayahnya dan hanya diarah untuk ‘memuput’ atau mengepam angin.

    “Jika dulu untuk pengepam angin ini diperbuat dari pati simin dan kemudianya diberi buluh yang dipanggil ‘Puputan’.

    Haji Omar ketika ditemu bual oleh media, baru-baru ini.
    Meskipun usia mencecah 91 tahun, Haji Omar tetap giat membuat parang.

    Antara peralatan yang digunakan Haji Omar semasa membuat parang.

    Antara parang yang telah siap dibuat oleh Haji Omar.

    “Untuk mendapatkan hasil parang yang diinginkan dan tahan, ia mestilah mempunyai besi yang sesuai. Besi halus dan nipis tidak sesuai kerana jika diasah ia tidak akan tajam untuk masa yang lama,” jelas Haji Omar ketika ditemui media.

    Kongsinya, beliau lebih selesa membuat parang dengan menggunakan kaedah lama iaitu arang dan tukul, kerana ia dapat menghasilkan besi parang yang diinginkan.

    Tambahnya, menggunakan arang lebih bagus berbanding menggunakan kayu, kerana arang yang digunakan bukan arang biasa tapi ia mestilah dari kayu yang keras dan berat seperti kayu Pulau-Pulauan, buluh dan lainnya.

    “Walaupun kayu keras dan berat, kalau bukan jenis kayu yang sesuai juga tidak akan dapat menghasilkan haba yang diinginkan,” katanya sambil menjelaskan pada ketika ini amat sukar mendapatkan kayu arang tersebut.

    Penggunaan arang ini adalah untuk membakar besi supaya ia mudah untuk di tukul. Bagi Haji Omar ia dapat menjangka tahap kepanasan yang diinginkan supaya besi yang dibakar tidak patah apabila ditukul.

    Kongsi Haji Omar, pada zaman dahulu pembuatan parang ini memerlukan rakan untuk memainkan peranan masing-masing seperti memotong menggunakan pahat, menukul, memegang besi dan memuput. Pada kebiasaannya, parang yang siap akan dibeli oleh orang ramai terutama pengemar parang selain mendapat tempahan dari luar negara.

    Bakat pembuatan parang

    Menurut Haji Omar, bakat dalam pembuatan parang yang diwarisi daripada ayahnya kini diturunkan kepada anaknya. Selain itu, beliau juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan belia-belia yang ingin mempelajari cara pembuatan parang. Beliau juga sering mengikuti pertandingan yang dianjurkan. Selain membuat parang beliau juga aktif dalam pembuatan keris.

    Menyentuh mengenai sarung parang, kayu yang digunakan adalah kayu khas dan ia bergantung kepada pengunaan sama ada untuk kegunaan harian atau perhiasan.

    “Untuk mereka yang ingin mengumpul parang sebagai koleksi, sarung yang sesuai digunakan kayu bekurai-kurai manakala untuk kegunaan harian boleh digunakan kayu Ranggu, Malam, Kasat dan Satul,” kongsinya semasa mengakhiri sesi temu bual.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda