Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Penempatan pengawal kebangsaan di Washington oleh Trump tidak sah’

    WASHINGTON, 21 NOV – Seorang hakim persekutuan kelmarin memutuskan bahawa penempatan anggota Pengawal Kebangsaan di Washington adalah tidak sah, dengan menyatakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah melampaui bidang kuasanya, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    Hakim Daerah AS, Jia Cobb, menulis bahawa pentadbiran itu tidak sepatutnya mengaktifkan unit Pengawal Kebangsaan ibu negara tanpa permintaan jelas daripada pihak berkuasa tempatan, serta tidak seharusnya mengarahkan anggota dari negeri lain dihantar ke Washington ‘bagi tujuan pencegahan jenayah.’

    Cobb mengarahkan penempatan itu ditamatkan, namun menggantung pelaksanaan keputusan selama tiga minggu bagi memberi ruang kepada pentadbiran untuk memfailkan rayuan.

    Pengawal Kebangsaan ialah pasukan simpanan tentera di bawah kawalan negeri yang biasanya dikerah ketika bencana alam, rusuhan awam atau kecemasan lain.

    Dalam keadaan tertentu, presiden AS boleh mengambil alih kawalan dan peraturan khas terpakai di Washington, DC.

    Ahli Pengawal Kebangsaan melakukan rondaan di National Mall dengan Bangunan Capitol AS sebagai latar belakang di Washington, DC, pada 5 November. – AFP

    Trump mengarahkan anggota Pengawal Kebangsaan dikerah ke ibu negara pada Ogos lalu, atas dakwaan berlakunya kadar jenayah yang tinggi, walaupun statistik rasmi tidak menyokong dakwaan terbabit. Pentadbiran bandar Washington kemudian memfailkan saman untuk mencabar tindakan itu.

    Dalam keputusannya, Cobb menyatakan bahawa anggota Pengawal Kebangsaan ditempatkan di kawasan monumen, stesen metro dan kawasan kejiranan.

    Menurut laporan media, sekitar 2,300 anggota Pengawal Kebangsaan kini berada di Washington.

    CNN menganggarkan kos operasi itu sekitar AS$1 juta sehari.

    Trump turut menempatkan unit Pengawal Kebangsaan di bandar-bandar lain termasuk Portland dan Los Angeles.

    Pengkritik memberi amaran bahawa presiden menggunakan pasukan itu sebagai medan ujian bagi pendekatan yang semakin bersifat autoritarian.

    Beberapa cabaran undang-undang berkaitan isu ini masih berlangsung. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda