JAKARTA, 26 MAC – Indonesia sedang mencari lebih banyak petunjuk bahawa harimau Jawa yang telah pupus itu mungkin masih wujud di dalam hutan liar, kata seorang pegawai kerajaan hari ini, selepas satu kajian baharu mencadangkan kaitan antara bulu yang diuji DNA dengan kucing besar itu.
Harimau Jawa dan Bali yang endemik masing-masing telah pupus pada tahun 1980an dan 1940an yang lalu, meninggalkan hanya harimau Sumatera di negara kepulauan itu.
Para saintis dari Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia, bersama ahli pemuliharaan telah menemui kesan genetik harimau Jawa dalam sehelai bulu yang ditemui berhampiran perkampungan Jawa Barat pada 2019, menurut kajian yang diterbitkan oleh Cambridge University Press minggu lepas.
“Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan menghargai penyelidikan tersebut. Terdapat beberapa tindakan yang kami lakukan dan akan dilakukan sebagai susulan kepada dapatan kajian,” kata Satyawan Pudyatmoko, ketua pemuliharaan di Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan, kepada AFP.
Beliau berkata langkah tersebut termasuk memasang perangkap kamera, menjemput pakar genetik untuk membantu pihak berkuasa menjalankan penyelidikan lanjut dan mengumpulkan data komuniti.
“Jika terbukti ia masih wujud, sudah tentu ia akan menjadi haiwan yang dilindungi. Menjadi kewajipan semua pihak termasuk masyarakat untuk turut serta dalam memelihara populasi haiwan ini,” katanya. – AFP