SYDNEY, 14 JAN – Pihak berkuasa Australia menutup sembilan pantai di Sydney hari ini susulan bebola berona putih dan kelabu terdampar di pesisir pantai.
Pantai ditutup sehingga notis selanjutnya termasuk kawasan tumpuan pelancong seperti Manly dan Dee Why, menurut kenyataan dari Majlis Pantai Utara Sydney.
“Setakat ini, kebanyakan sampel yang dikenal pasti adalah sebesar saiz guli, dengan beberapa bersaiz lebih besar,” kata kenyataan itu.
Kerajaan tempatan berkata mereka telah dimaklumkan mengenai serpihan tersebut oleh Lembaga Perlindungan Alam Sekitar dan sedang membantu agensi negeri untuk mengumpul sampel bagi ujian.
“Pihak berkuasa sedang mengatur pemindahan serpihan tersebut dengan selamat dan memeriksa pantai-pantai lain,” tambahnya.
Pada Oktober tahun lalu, objek bulat sebesar bola golf turut muncul di pasir Pantai Bondi dan Coogee yang terkenal di Sydney.
Pada mulanya disangka sebagai bola tar, pihak berkuasa kemudian mengatakan bahawa mereka tidak dapat memastikan asal-usulnya tetapi objek tersebut mengandungi pelbagai bahan termasuk asid lemak, minyak, rambut manusia dan bakteria. – AFP
