WELLINGTON, 29 JUN – Penemuan fosil terbaharu yang ditemui telah mendedahkan bukti tentang asal usul burung murai Australia yang pernah hidup di New Zealand 19 juta tahun lalu, sekali gus mengubah semula sejarah spesies burung tersebut.
Burung murai yang diperkenalkan dari Australia pada tahun 1860an untuk mengawal perosak padang ragut kini menjadi salah satu burung paling kontroversi di New Zealand disebabkan serangannya yang agresif terhadap manusia dan burung lain.
Kehadiran haiwan itu telah mencetuskan perdebatan berterusan tentang kesannya terhadap hidupan liar tempatan dan keperluan untuk melakukan kawalan populasi.
Menurut kenyataan dari Muzium Canterbury New Zealand pada Jumaat, penemuan itu merupakan hasil lebih dua dekad kerja penggalian di tapak fosil St Bathans di Central Otago, Pulau Selatan New Zealand iaitu sebuah tapak bekas dasar tasik prasejarah yang menawarkan satu-satunya gambaran penting tentang hidupan darat negara itu dari 16 hingga 19 juta tahun lalu.
Spesies baru yang ditemui itu dinamakan St Bathans currawong, seekor burung hitam sepenuhnya, bersaiz seperti murai dan berasal dari era Miosen Awal.
Haiwan itu tergolong dalam keluarga cracticine dan penemuannya telah membuktikan, burung murai mempunyai akar purba di New Zealand, sekali gus mencabar anggapan haiwan itu hanya pendatang baharu dari Australia.
Menurut Scofield, St Bathans currawong telah pupus sekitar lima juta tahun lalu apabila penyejukan iklim menyebabkan kepupusan besar-besaran tumbuhan dan burung.
Hutan New Zealand pada era Miosen, yang kaya dengan pokok jenis Australia, menyokong lebih banyak spesies burung penyanyi berbanding zaman selepas kedatangan manusia, kata para penyelidik.
Penemuan itu telah diterbitkan dalam jurnal PalZ oleh penyelidik dari Flinders University, University of New South Wales, Muzium Canterbury dan University of Canterbury, menyerlahkan sifat dinamik biodiversiti New Zealand dan pentingnya rekod fosil dalam memahami evolusi berterusan ekosistem rantau tersebut. – Xinhua


