LONDON, 5 OGOS – Rangka haiwan melibatkan 46 spesies mamalia, ikan dan burung yang dipercayai berusia lebih 10,000 tahun ditemukan di sebuah gua di utara Norway, sekali gus mendedahkan haiwan tertua yang pernah dikenal pasti di kawasan Artik Eropah, lapor agensi akhbar Jerman (dpa).
Penemuan luar biasa itu termasuk spesies seperti beruang kutub, walrus, paus bowhead dan pufin Atlantik, yang digambarkan saintis sebagai ‘gambaran luar biasa dunia Artik yang telah lenyap.’
Turut dijumpai ialah sisa tinggalan collared lemmings, sejenis haiwan kecil yang kini telah pupus di Eropah dan tidak pernah dijumpai sebelum ini di kawasan Scandinavia.
Kesemua sisa-sisa itu ditemukan dalam Gua Arne Qvamgrotta, yang kali pertama dijumpai pada 1990an selepas syarikat perlombongan tempatan membina terowong melalui gunung berhampiran.
Bagaimanapun, kerja-kerja penggalian berskala besar yang dijalankan pada 2021 dan 2022 membawa kepada penemuan pelbagai haiwan lain seperti itik eider dan ikan kod Atlantik.
Kajian itu, yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS), memberi gambaran penting tentang bagaimana hidupan liar bertindak balas terhadap perubahan iklim ekstrem pada masa lalu, memandangkan komuniti haiwan itu wujud pada tempoh lebih panas semasa zaman ais.
Ujian DNA terhadap fosil menunjukkan garis keturunan haiwan-haiwan itu tidak dapat bertahan apabila iklim kembali sejuk.
Sam Walker dari Universiti Bournemouth berkata, “Penemuan ini memberi gambaran unik tentang dunia Artik yang telah hilang. Ia juga menunjukkan betapa rapuhnya spesies yang bergantung kepada iklim sejuk apabila berdepan perubahan iklim, membantu kami memahami daya tahan dan risiko kepupusannya pada masa kini.” – Bernama


