ISTANBUL, 16 DIS – Agensi Anadolu merakamkan penemuan sebuah kubur besar di kawasan Baghdad Bridge, berhampiran ibu negara Syria, Damsyik yang dipercayai mengandungi mayat orang awam yang dibunuh oleh rejim Assad yang telah digulingkan.
Kubur-kubur besar terus dibongkar di seluruh Syria dalam usaha pencarian dan pemulihan selepas kejatuhan rejim Baath. Tapak itu menyaksikan parit-parit dalam yang dipenuhi sisa mayat manusia.
Bukti menunjukkan mangsa, termasuk mereka yang mati akibat penyeksaan di penjara seperti Penjara Sednaya dikebumikan di situ.
Rakaman menunjukkan mayat yang disusun berlapis-lapis dan guni yang ditandai dengan kod penjara serta nama-nama dipercayai milik si mati, dengan satu dari parit itu mengandungi lapan guni berisi sisa mayat telah dikeluarkan.
Imej dan rakaman dari Penjara Sednaya berhampiran Damsyik turut mendedahkan layanan kejam terhadap tahanan oleh rejim Syria yang telah digulingkan.
Laporan Amnesty International pada 2017 menyifatkan Penjara Sednaya sebagai ‘rumah penyembelihan,’ dengan dokumentasi penyeksaan terhadap tahanan termasuk rogol, penderaan dan hukuman mati.
Bashar Assad, yang memerintah Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada 8 Disember selepas kumpulan anti-rejim menguasai Damsyik, susulan serangan pantas selama dua minggu oleh pejuang Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang berjaya menawan beberapa bandar utama di seluruh negara. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/12/P20-1A-AFP_17122024.jpg)