BANDAR SERI BEGAWAN, 14 September 2012 – Seorang lelaki berbangsa Cina tempatan telah berkongsi penemuan wang syiling lama yang ditemuinya semasa bermain bersama kawan-kawannya di Kuching, Sarawak dulu.
Lelaki itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata sekitar tahun 1950-an, beliau bersama kawan-kawannya gemar mengumpul dan bermain dengan wang syiling yang ditemui.
Setiap wang syiling disimpan ke dalam kotak tetapi sekeping wang syiling telah menarik perhatian beliau, ia adalah wang syiling bernilai satu sen. Reka bentuk wang syiling tersebut juga agak berbeza sekali.
Di permukaan depan wang syiling berkenaan tercatat ‘Sultanate of Brunei’ berserta tahun syiling itu dikeluarkan iaitu pada tahun 1304.
Manakala di permukaan belakang syiling itu tercatat tulisan jawi bersama reka bentuk binatang di tengah-tengahnya.
Katanya, wang syiling itu unik dan berkemungkinan pernah digunakan di Negara Brunei Darussalam pada satu ketika dahulu.
Berdasarkan berat wang syiling itu, ia cukup ringan berbanding dengan wang syiling sekarang. Ia berkemungkinan diperbuat daripada bahan campuran logam yang berkualiti.
Beliau tetap akan menyimpan syiling tersebut dengan sebaik-baiknya sebagai satu kenangan yang sangat istimewa dan berharga.
Beliau juga tidak berhasrat untuk menjualnya walaupun nilai asalnya hanya satu sen sahaja.