Friday, July 18, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerbangan Air India patah balik ke Hong Kong akibat masalah teknikal

    NEW DELHI, 16 JUN – Penerbangan Air India dari Hong Kong ke New Delhi terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong sejurus selepas berlepas hari ini kerana disyaki masalah teknikal.

    “Penerbangan AI315 dari Hong Kong ke Delhi pada 16 Jun berpatah balik ke Hong Kong sejurus selepas berlepas akibat masalah teknikal.

    “Pesawat telah mendarat dengan selamat di Hong Kong dan kini sedang menjalani pemeriksaan sebagai langkah berjaga-jaga,” lapor agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan syarikat penerbangan itu.

    Air India turut memaklumkan pengaturan alternatif sedang diusahakan bagi membawa penumpang ke Delhi secepat mungkin.

    “Kami sedang menyediakan semua bantuan yang diperlukan di lapangan bagi mengurangkan kesulitan yang dialami para penumpang susulan gangguan yang tidak dijangka ini,” kata jurucakap syarikat itu.

    Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas tragedi penerbangan membabitkan Air India, apabila sebuah pesawat yang membawa 242 orang terhempas di negeri Gujarat, barat India, mengakibatkan lebih 270 kematian termasuk orang awam di kawasan kejadian.

    Susulan tragedi itu, pihak berkuasa India telah mengarahkan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Air India. – Bernama

    Pesawat Air India Boeing 787 Dreamliner berpatah balik ke Hong Kong. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda