WASHINGTON, 21 JULAI — Syarikat penerbangan Alaska Airlines hari ini memaklumkan ia telah menyambung semula operasi selepas sebelumnya mengarahkan kesemua pesawat dihentikan sementara akibat gangguan sistem teknologi maklumat (IT).
Syarikat itu memohon maaf atas gangguan yang berlaku dan menasihatkan penumpang supaya menyemak status penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang, sambil menambah proses pemulihan operasi sepenuhnya akan mengambil sedikit masa.
Sebelum ini, Alaska Airlines memberitahu AFP, mereka mengalami gangguan sistem IT yang menjejaskan operasi dan telah memohon pemberhentian sementara ke atas semua penerbangan Alaska dan Horizon Air di seluruh sistem sehingga isu berkenaan diselesaikan.
Sebelum arahan pemberhentian itu ditarik balik, laman status Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menunjukkan semua destinasi terjejas akibat gangguan penerbangan utama Alaska Airlines.
“Kami memohon maaf atas kesulitan ini,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

“Ketika kami menyusun semula pesawat dan kru kami, kemungkinan besar masih ada kesan terhadap jadual penerbangan,” tambahnya.
Dalam kenyataan berasingan yang dimuat naik ke platform X, syarikat berkenaan menyatakan gangguan sistem IT telah diselesaikan, namun tidak memberi butiran lanjut mengenai puncanya.
Gangguan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan penumpang, terutama yang terkandas di lapangan terbang.
Pada tahun lalu, Alaska Airlines juga mengalami gangguan IT yang menyebabkan gangguan besar terhadap operasi mereka, termasuk kelewatan penerbangan.
Pada masa itu, ramai pengguna melaporkan masalah untuk mengakses aplikasi dan laman web syarikat tersebut.
Gangguan terbaharu itu berlaku sehari selepas Microsoft mengeluarkan amaran mengenai serangan aktif ke atas perisian pelayan yang digunakan oleh syarikat untuk berkongsi dokumen dalaman, serta menggesa agar pengemaskinian keselamatan dilakukan segera. – AFP

