Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Bagi yang suka melancong dan meneroka tempat menarik, inilah peluang untuk meneroka Pulau Hainan, di China di mana pengenalan rasmi bagi Program Penerbangan Carter Hainan telah diadakan di salah sebuah kafe kawasan Beribi, hari ini.
Pengenalan rasmi melalui pembentangan bersama oleh pengendali penerbangan carter dan syarikat penerbangan rakan kongsi 9 Air (AQ), dengan sokongan fasilitasi dari Freme Travel Services. Acara tersebut menandakan pemulihan semula hubungan penerbangan carter langsung antara Brunei dan Hainan.
Sementara pakej yang berkaitan dengan penerbangan carter itu akan tersedia melalui agensi pelancongan di seluruh Brunei serta agensi di Miri, Limbang dan Labuan.
Majlis tersebut dihadiri oleh Lim Jen Lih dari Freme Travel Services; Ketua Pegawai Eksekutif Hainan Haohai Tourism Investment Group, Yan Mansheng; Pengurus Pemasaran Hainan Letong Aviation Services Co., Ltd., Liu Guoqin; dan Naib Presiden Hainan Haohai Tourism Investment Group merangkap Pengurus Besar Xuhui Travel Agency, Zhang Mian.
Mereka turut disertai oleh wakil kanan dari Xuhui Travel Agency, termasuk timbalan pengurus besar, pengarah operasi dan pengarah pemasaran, bersama agensi pelancongan jemputan dari Brunei dan Malaysia serta para pengamal media.
Perkhidmatan carter yang pertama akan beroperasi pada 21 Disember nanti, dengan penerbangan AQ1221 berlepas dari Brunei (BWN) ke Haikou (HAK) pada pukul 2:35 pagi dan tiba pada pukul 5:50 pagi.
Manakala bagi penerbangan pulang, AQ1219, akan berlepas dari Haikou pada pukul 10:10 malam dan tiba di Brunei pada pukul 1:35 pagi keesokan harinya. Perkhidmatan carter itu akan beroperasi dua kali seminggu.
Tarikan baharu dan dinaik taraf termasuk Ocean Flower Island, kawasan persisiran pantai yang dipertingkatkan di Sanya, zon budaya Li dan Miao yang imersif, serta ruang awam kontemporari seperti Cloud Tunnel Library.
Sementara aktiviti premium pilihan seperti pelayaran kapal layar persendirian di Teluk Sanya, penerbangan helikopter altitud rendah untuk melihat pemandangan, serta lawatan ke kompleks riadah utama termasuk Atlantis Sanya turut diperkenalkan.






