Saturday, September 14, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerbangan Colombia kembali normal, isu kekurangan bahan api selesai

    BOGOTA, 27 OGOS – Syarikat penerbangan Colombia, Avianca dan Latam Colombia berkata lewat kelmarin mereka akan mula menguruskan banyak penerbangan dan menyambung semula jadual penuh hari ini.

    Terdahulu, amaran membatalkan berpuluh-puluh penerbangan negara itu kerana kekurangan bahan api terpaksa dikeluarkan.

    Avianca berkata ia telah menerima pengesahan daripada pembekal utama bahan api negara bahawa tidak akan ada lagi sekatan dikenakan ke atas jumlah bahan api. Penjualan tiket untuk semua laluannya dan operasi penerbangan berjalan seperti biasa.

    Latam Colombia pula berkata bahawa ia akan menyambung semula operasinya esok dan penumpang yang penerbangannya dibatalkan hari ini telah ditukar ke penerbangan lain pada hari yang sama. Latam telah mengumumkan kelmarin bahawa ia membatalkan 36 penerbangan kerana kekurangan bahan api.

    Pengumuman lewat oleh syarikat pengendali penerbangan yang membawa lebih 70 peratus penumpang domestik Colombia mengganggu industri penerbangan Colombia menyebabkan ratusan penumpang terkesan.

    Pada Ahad, syarikat minyak negara Colombia, Ecopetrol, mengumumkan telah mengimport 100,000 tong bahan api untuk memastikan bekalan bagi syarikat penerbangan domestik selepas syarikat penerbangan mengadu mereka tidak menerima bahan api yang mencukupi daripada pembekal.

    Krisis tercetus selepas gangguan bekalan kuasa pada 16 Ogos seterusnya mengganggu pengeluaran bahan api tempatan di kilang penapisan Ecopetrol di bandar Cartagena.

    Kelmarin, Presiden Ecopetrol, Ricardo Roa berkata pengeluaran bahan api jet telah dipulihkan dan beliau mengkritik pengedar bahan api dengan mengatakan mereka tidak mengimport bahan api yang mencukupi untuk mematuhi permintaan yang meningkat.

    Ketua Pegawai Eksekutif Avianca, Federico Pedreira berkata dalam satu kenyataan malam Isnin bahawa dia terkejut dan gembira dengan berita bahawa bekalan bahan api jet telah pulih.

    “Bagaimanapun, keadaan ini menunjukkan keperluan untuk ahli rantaian bekalan untuk menjangka masalah dan berkomunikasi antara satu sama lain, supaya inventori dan ketersediaan bahan api lebih jelas,” kata Pedreira. – AP

    Suasana lapangan terbang El Dorado semasa kekurangan bahan api di Bogota, Colombia,kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda