DENPASAR, Indonesia, 30 Nov – Beribu-ribu pelancong asing dijangka meninggalkan Bali dengan kapal terbang hari ini ekoran penutupan lapangan terbang selama tiga hari yang dicetuskan oleh gunung berapi di pulau percutian Indonesia.
Tahap amaran di Gunung Agung masih pada maksimum, tetapi perubahan dalam arah angin yang meniup kepulan abu dan asap daripada lapangan terbang, mendorong pihak berkuasa membuka semula pintu masuk antarabangsa utama di pulau pada petang semalam.
Tindakan tersebut memberikan harapan kepada kira-kira 120,000 pelancong yang terkandas selepas pertambahan dalam aktiviti gunung berapi menyebabkan ratusan penerbangan dihentikan sejak Isnin, mencetuskan keadaan kelam-kabut dalam perjalanan dan memaksa pemindahan penduduk kampung yang tinggal berhampiran.
“Sejak lapangan terbang dibuka semalam, beberapa penerbangan telah meneruskan operasi dan keadaan beransur-ansur kembali seperti sedia kala,” kata jurucakap lapangan terbang, Israwadi.
Lebih daripada 4,500 orang kini telah berlepas meninggalkan lapangan terbang, kata pihak berkuasa.
Pada petang semalam, kapal terbang domestik Garuda berkata ia akan memulakan penerbangan ke beberapa bandar di seluruh negara gugusan kepulauan, sementara AirAsia terbang ke ibu negara Malaysia Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, lapangan terbang di pulau Lombok, juga destinasi pelancong yang popular, ditutup sekali lagi pada hari ini selepas abu dan asap berarak ke arah haluannya.
Berjuta-juta pelancong melawat pulau popular itu setiap tahun. Kebanyakan mereka adalah warga China, diikuti oleh warga Australia, India, Britain dan Jepun, menurut pejabat imigresen, yang menambah hampir 25,000 warga asing tinggal di pulau kecil tersebut. – AFP