Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerbangan ditangguh akibat letusan Gunung Agung

    Oleh Azlan Othman

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Berikutan letusan abu gunung berapi dari Gunung Agung yang berlaku di Kepulauan Bali, Indonesia, kelmarin, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah menangguhkan operasi penerbangannya B1757 yang menuju ke Bali kelmarin dan pesawat B1758 dari Bali ke Brunei Darussalam, hari ini.

    RB dalam kenyataannya memohon maaf atas kesulitan tersebut dan akan memberikan pengumuman berkala dengan butiran selanjutnya mengenai waktu operasi penerbangan mereka dengan menambah akan terus menekankan kepentingan keselamatan dan sekuriti para pelanggannya.

    Sementara itu, Bali telah membuka semula lapangan terbang antarabangsanya malam semalam selepas letusan abu gunung berapi telah menangguhkan sementara operasi penerbangannya, mengakibatkan ribuan pelancong terkandas di pulau percutian Indonesia tersebut, lapor AFP.

    Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai mula beroperasi pada jam 2:30 petang waktu tempatan (0730 GMT), kira-kira 12 jam selepas ia ditutup akibat muntahan abu dan asap Gunung Agung.

    Letusan abu sangat berbahaya ke atas pesawat penerbangan kerana ia akan mengakibatkan landasan licin serta asapnya boleh disedut masuk ke dalam enjin pesawat. Bagaimanapun perubahan arah angin telah menyebabkan bawaan abu beralih dari kawasan landasan antarabangsa Bali yang membolehkan operasi penerbangan disambung semula, menurut seorang pegawai lapangan terbang.

    “Lapangan terbang Bali akan beroperasi selama 24 jam untuk membolehkan semua penerbangan kembali mengikut jadual,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda