KATHMANDU, 6 JAN – Syarikat penerbangan Nepal telah menghentikan penerbangan helikopter ke kawasan Everest selepas penduduk tempatan marah dengan kesan alam sekitar dan kehilangan pendapatan daripada pendaki yang mengancam tapak pendaratan, menurut pegawai penerbangan hari ini.
Helikopter merupakan salah satu cara pengangkutan utama dan penting untuk menyelamatkan mangsa kecemasan di banyak kawasan terpencil Nepal, yang sukar diakses melalui jalan darat.
Namun, helikopter juga semakin banyak digunakan untuk mengangkut pasukan pendaki dan pelancong melintasi kawasan berbukit di Taman Negara Sagarmatha, yang merupakan rumah kepada Gunung Everest.
Bagi mereka yang mampu membayar harga AS$1,000, helikopter mengurangkan perjalanan selama dua minggu ke kem pangkalan Everest kepada hanya satu hari – yang mengurangkan sumber pendapatan utama bagi penduduk Nepal yang menyokong pendaki dalam perjalanan panjang tersebut.
Persatuan Pengendali Syarikat Penerbangan Nepal menghentikan semua penerbangan helikopter ke kawasan tersebut kelmarin, atas alasan keselamatan.
Ia berkata, pemuda tempatan telah membina penghadang bendera di tapak pendaratan dan mengancam terhadap juruterbang yang mendarat.
“Kami telah menangguhkan semua pener-bangan helikopter kami ke kawasan Everest sehingga kerajaan memberikan jaminan keselamatan untuk juruterbang helikopter dan tempat berasingan untuk pendaratan kecemasan,” kata Pratap Jung Pandey, naib presiden pertama persatuan itu, kepada AFP.
Penangguhan itu berlaku selepas pertikaian semakin memuncak antara pihak berkuasa penerbangan, syarikat penerbangan dan pegawai tempatan.
Setiap tahun lebih 50,000 pelancong mengunjungi kawasan Everest, kebanyakannya masuk melalui pesawat atau helikopter. – AFP