JAKARTA, 18 JUN – Sekurang-kurangnya 24 penerbangan ke dan dari pulau peranginan Bali dibatalkan, menurut laman web rasmi Lapangan Terbang Antarabangsa Bali hari ini, susulan letusan sebuah gunung berapi di timur Indonesia yang memuntahkan abu setinggi 10 kilometer ke udara.
Gunung Lewotobi Laki-Laki, sebuah gunung berapi berketinggian 1,703 meter yang terletak di pulau pelancongan Flores, meletus kelmarin, menyebabkan pihak berkuasa menaikkan status amaran ke tahap tertinggi.
Penerbangan yang dibatalkan termasuk penerbangan Jetstar dan Virgin Australia ke beberapa bandar utama di Australia, selain penerbangan oleh Air India, Air New Zealand, TigerAir dari Singapura dan Juneyao Airlines dari China, menurut maklumat laman web rasmi lapangan terbang Bali.
Beberapa penerbangan domestik AirAsia ke Labuan Bajo di Flores turut dibatalkan.

“Lapangan Terbang Ngurah Rai masih beroperasi seperti biasa, namun bergantung pada jadual penerbangan. Beberapa penerbangan dibatalkan disebabkan letusan gunung berapi. Ia bergantung pada laluan dan juga syarikat penerbangan,” kata seorang ejen khidmat pelanggan lapangan terbang Bali kepada AFP, yang enggan mendedahkan nama.
Abu gunung berapi telah turun seperti hujan ke beberapa kampung di sekitar Gunung Lewotobi Laki-Laki dan menyebabkan penduduk sekurang-kurangnya sebuah kampung terpaksa dipindahkan lewat kelmarin, menurut Agensi Pengurusan Bencana Indonesia.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau korban jiwa diterima.
Pada bulan November lalu, Gunung Lewotobi Laki-Laki telah meletus beberapa kali, menyebabkan sembilan orang maut, puluhan penerbangan antarabangsa ke Bali dibatalkan dan ribuan penduduk dipindahkan. – AFP