JAKARTA, 14 NOV – Beberapa syarikat penerbangan menyambung semula penerbangan ke Bali hari ini, selepas membatalkan penerbangan pulau percutian Indonesia itu berikutan letusan besar di sebuah gunung berapi berdekatan.
Sebanyak 83 laluan antarabangsa dibatalkan kelmarin, kata pengurus besar lapangan terbang antarabangsa Bali dalam satu kenyataan, selepas Gunung Lewotobi Laki-Laki memuntahkan abu setinggi sembilan kilometer ke udara.
Gunung berapi itu telah meletus puluhan kali dalam dua minggu lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang dan memaksa pemindahan ribuan orang.
Qantas dan Jetstar menyambung semula perkhidmatan mereka ke Bali, kata Kumpulan Qantas Australia dalam satu kenyataan hari ini, sambil menyatakan keadaan ‘bertambah baik’.
Dua penerbangan Qantas yang tertangguh dari semalam adalah antara penerbangan yang dijadualkan untuk berlepas, kata Qantas.
“Kami akan terus memantau perubahan keadaan dan aktiviti gunung berapi,” katanya dalam kenyataan tersebut.
AirAsia merancang untuk menyambung semula beberapa penerbangan ke dan dari Bali lewat hari ini, kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada AFP, manakala Virgin Australia pula menyatakan di laman webnya bahawa mereka akan menyambung semula penerbangan ke dan dari Denpasar bermula hari ini.
Syarikat penerbangan Scoot dari Singapura pula berkata bahawa mereka telah menjadualkan semula penerbangan dari Singapura ke Bali dan Surabaya serta penerbangan pulang mereka berikutan aktiviti gunung berapi Lewotobi Laki-Laki.
Sehingga jam 3 pagi hari ini, lapangan terbang Bali telah merekodkan 32 pembatalan penerbangan antarabangsa lagi, kata pengurus besar Ahmad Syaugi Shahab.
Beliau menambah bahawa abu gunung berapi dari Gunung Lewotobi Laki-Laki telah bergerak menjauhi lapangan terbang sejak petang kelmarin. – AFP