Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Seramai 252 orang bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam termasuk pegawai-pegawai pengiring telah berlepas pagi tadi ke Tanah Suci menerusi Penerbangan Kedua dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei menggunakan pesawat Penerbangan Diraja Brunei (RB) BI4203 dan dijadualkan tiba di Madinah pada pukul 3:20 petang waktu tempatan.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 116 orang adalah jemaah lelaki, manakala 136 orang lagi merupakan jemaah perempuan. Mereka terdiri daripada bakal jemaah haji yang diuruskan oleh tiga syarikat pengendali jemaah haji serta pegawai-pegawai dari pelbagai agensi berkaitan iaitu dari Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan) disertai oleh tiga orang, Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) membawa bakal jemaah haji seramai 85 orang, Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd (SCA) membawa seramai 44 orang bakal jemaah haji dan Syarikat Al-Hijrah Travel & Tours Sdn Bhd membawa seramai 120 orang bakal jemaah haji.
Pegawai-pegawai yang mengiringi para jemaah terdiri daripada wakil Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan), DSSB, SCA dan Al-Hijrah Travel & Tours Sdn Bhd.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat jalan kepada para jemaah ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin; serta Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al Buraithin.
Majlis keberangkatan juga diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin serta pegawai-pegawai kanan dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat, Imam Tingkat I, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, manakala azan dilaungkan oleh Haji Hamdini bin Haji Garif, Imam Tingkat III, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.