CAPE CANAVERAL, 13 JAN – Blue Origin milik Jeff Bezos terpaksa menunggu sedikit lebih lama untuk penerbangan orbital sulung roket baharunya yang sangat dinantikan setelah cubaan pelancaran yang berlangsung selama berjam-jam dibatalkan akibat masalah teknikal yang tidak dinyatakan.
Roket setinggi 320 kaki, yang dinamakan New Glenn untuk menghormati angkasawan legenda John Glenn, dijadualkan untuk berlepas dari Stesen Angkasa Tentera Laut Cape Canaveral dalam tetingkap tiga jam bermula pada 1 pagi, hari ini.
Namun, pengiraan detik berulang kali terhenti kerana pasukan teknikal berusaha menyelesaikan ‘anomali’, sebelum misi tersebut secara rasmi ‘dibatalkan’ sekitar pukul 3:10 pagi – satu kejadian biasa dalam industri angkasa, tetapi tetap mengecewakan bagi ratusan ribu orang yang terjaga untuk menonton siaran langsung.
“Kami menghentikan percubaan pelancaran hari ini untuk menyelesaikan isu subsistem kenderaan yang akan membawa kami melepasi tetingkap pelancaran kami,” kata Ariane Cornell, seorang eksekutif Blue Origin, dalam siaran web tersebut.
Beliau menambah, “Kami sedang mengkaji peluang untuk percubaan pelancaran kami yang seterusnya.”
Dengan misi yang dinamakan NG-1, jutawan pengasas Amazon, Bezos, mensasarkan satu-satunya individu yang lebih kaya daripadanya, Elon Musk, yang syarikatnya SpaceX mendominasi pasaran pelancaran orbital melalui roket Falcon 9 yang produktif, yang sangat penting untuk sektor komersial, Pentagon dan NASA.
Bezos, yang mengasaskan Blue Origin 25 tahun lalu dan menyambut ulang tahun ke-61 kelmarin, menyaksikan peristiwa itu dari bilik kawalan pelancaran yang berdekatan.
Musk pula, mengucapkan “Selamat berjaya!” kepada Blue Origin di X.
“SpaceX selama beberapa tahun kebelakangan ini hampir menjadi satu-satunya pilihan yang ada di pasaran, jadi mempunyai pesaing… ini adalah sesuatu yang hebat,” kata G Scott Hubbard, bekas pegawai kanan NASA, kepada AFP, dengan harapan persaingan tersebut dapat menurunkan kos.
Sementara itu, SpaceX merancang ujian orbital seterusnya untuk Starship – roket generasi baharu yang sangat besar – minggu ini, meningkatkan lagi persaingan yang tinggi. – AFP